Monday, October 26, 2009

Sedekahkan Pahala Tilawah al-Quran

Sedekahkan Pahala Tilawah al-Quraan

Amalan bersedekah pada umumnya adalah sunat disisi agama islam. Bersedakah boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti harta benda, wang, tenaga, bahkan senyuman juga adalah satu sedekah. Selain itu, menyedekahkan pahala tilawah al-Quran kepada umat Islam yang telah meninggal dunia telah menjadi amalan rutin bagi umat Islam terutama bagai ahli keluarga, waris mahupun sesiapa sahaja. Amalan ini juga bukan lagi menjadi kelaziman apabila ada kematian ahli keluarga, sebaliknya amalan ini dilakukan secara berterusan oleh umat Islam terutamanya pewaris yang masih hidup sebagai wasilah antara dua penghuni alam iaitu penghuni alam dunia dengan penghuni alam barzakh.

Menurut Syeikh Atiyyah Saqar iaitu diantara ulama besar Universiti al-Azhar, Mesir, dalam himpunan fatwanya menyatakan, terdapat tiga kaedah yang harus dilakukan oleh seseorang untuk menyampaikan pahala tilawah al-Quran iaitu:

1) Melakukan tilawah ayat-ayat suci al-Quran dan kemudian berdoa supaya dirahmati dan diampunkan dosa si mati. Orang yang berdoa hendaklah bertawassul dengan perbuatan solehnya iaitu membaca al-Quran dan kemudian doakan kerahmatan buat si mati.

2) Membaca ayat al-Quran dan kemudian dihadiahkan kepada si mati seperti bacaan: “Allahumma awsil thawaba ma qara’nahu li fulan (Ya Allah sampaikanlah pahala apa yang telah kami bacaan kepada roh si polan)

3) Diniatkan terlebih dulu pada permulaan bacaan atau ketika membaca ayat al-Quran bahawa pahala bacaan itu untuk si polan bin si polan.

Menurut Syeikh Daud al-Fatani apabila ditanya, apakah hukumnya membaca doa khatam al-Quran dengan meniatkan pahala bacaan kepada roh si mati, beliau menyatakan bahawa ia adalah dibenarkan, seperti terjemahan doa di bawah ini: “Ya Allah, jadikanlah pahala bacaan kami sebagai tambahan kemuliaan bagi Nabi, dan jadikanlah juga pahala yang sama dan gandakannya untuk roh si polan atau dalam suratan amalannya.” Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menyatakan bahawa pahala bacaan al-Quran kepada si mati sampai kepadanya. Perkara ini berdasarkan kepada satu riwayat daripada imam Ahmad yang bermaksud: “Apabila kamu memasuki tanah perkuburan, bacalah ayat al-Kursi dan tiga kali surah al-Ikhlas, kemudian katakanlah: Wahai Tuhanku, sesungguhnya bacaan ini adalah untuk ahli kubur.” Beliau turut menyebut satu hadis yang menyatakan kelebihan membaca surah Yasin sebagai sedekah kepada si mati, maksudnya: “Sesiapa yang memasuki tanah perkuburan, bacalah surah Yasin, nescaya seksa kuburnya akan diringankan pada hari itu.” Dalam satu riwayat lain, Rasulullah menyebut satu hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang menziarahi kubur ibu bapanya, bacalah surah Yasin buat mereka, maka dosa ibu bapa mereka akan diampunkan.” Dalam kitab al-Tazkirah karangan Imam al-Qurtubi ada juga satu riwayat lain daripada Imam Ahmad bermaksud: “Apabila kamu memasuki tanah perkuburan, bacalah al-Fatihah, surah al-Falaq, surah an-Nas dan surah al-Ikhlas, jadikanlah bacaan kamu itu sedekah buat ahli kubur kerana sesungguhnya pahala bacaan itu sampai kepada mereka.”

Selain itu, seseorang individu mahupun pewaris dapat membantu mengurangkan seksaan kubur yang dihadapi si mati, sama ada si mati itu ahli keluarga, kawan-kawan mahupun saudara seagama boleh menghadiahkan pahala pada si mati melalui amalan yang boleh digantikan.

Ada dua jenis amalan iaitu ibadat yang taklif atau wajib mutlak yang tidak boleh digantikan oleh orang lain, seperti masuk Islam dan solat. Kedua, ibadat yang boleh digantikan seperti hutang puasa, haji, sedekah, doa atau membayar amanah. Kategori kedua boleh dihadiahkan pada si mati. Bukti si mayat akan mendapat faedah daripada doa dan amalan orang hidup iaiah Allah memuji mereka yang memohon keampunan bagi saudara mereka yang mati dalam surah Hasyr ayat 10.

Rumusannya, orang yang hidup masih ada hubungan dengan yang mati. Jika tidak sempat memohon keampunan sewaktu arwah masih ada, masih ada ruang untuk memohon ampun daripada Allah atas kesalahan mahupun dosa dan kemudian melakukan kebajikan untuk si mati. Bagi seorang anak, mintalah ampun untuk si ibu, lihatlah jika ada hutangnya yang boleh dilangsaikan, sambungkan silaturahim dengan kawan-kawan dan saudara maranya dan banyakkan bersedekah jariah untuk ibu. InsyaAllah, dengan kebajikan yang dilakukan untuk si ibu, kesalahan mahupun dosa akan terampun. Allah swt yag lebih mengetahui.wassalam.

No comments:

Post a Comment