Sunday, November 1, 2009

Doa arwah

DOA ARWAH SANGAT BERMANFAAT
Al-Fatihah buat arwah ibu. Semoga Allah SWT tempatkan rohmu bersama para Rasul, serta sahabat, tabie, tabi’tabie, wali-wali, ulama dan sekalian hambaNya yang solah. Khidmat seorang anak terhadap ibubapa yang telah menyambut panggilan ilahi, tidak terpisah oleh dua alam yang dihuni adalah berbeza, kerana alam manapun yang dituju semuanya ditadbir oleh pemerintah yang satu iaitu Allah SWT.
Pernah suatu ketika, sewaktu berbicara soal kematian, aku pernah ditanya berkaitan persoalan kewajaran mengadakan tahlil dan doa arwah. Menurutnya, amalan itu merupakan amalan bidaah, dan boleh menjadi haram jika tidak bertepatan caranya tambahnya lagi adakah amalan tersebut sampai kepada arwah. Aku setuju dengan pandangan yang dilontarkan itu jika aku tidak habis belajar seperti insan yang bertanya itu. Sebaliknya, aku ada sandaran hujjah untuk mewajarkan amalan doa dan tahlil arwah yang telah dilakukan sejak sekian lama itu adalah amalan yang mempunyai kesinambungan antara dua alam mahupun lebih. Bukan maksud aku untuk mendedahkan bagaimana berakhirnya dengan perbahasan yang berlaku. Sebaliknya, aku ingin berkongsi sedikit sandaran berkaitan kewajaran mengadakan doa arwah, antaranya:
Berdasarkan dalil naqli di bawah, bahawa doa itu menjadi amalan berharga kepada setiap Muslim. Perlulah difahami bahawa konsep doa seperti yang dianjurkan oleh Islam bukan hanya untuk seseorang Muslim itu sendiri atau orang yang masih hidup, tetapi mencakupi doa kepada mereka yang telah meninggal dunia.
Doa adalah ibadah dan Allah SWT menggalakkan umatNya agar selalu berdoa dan Dia menjanjikan akan memperkenankan doa dan permintaan setiap orang yang berdoa. Firman-Nya yang bermaksud: 'Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepada mu (Nabi Muhammad saw) mengenai Aku, maka jawablah bahawa sesungguhnya Aku (Allah) adalah dekat, Aku akan memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 186). Dalam ayat lain, iaitu pada surah al-Mu’min, ayat 60, Allah SWT berfirman, mafhumnya: “Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Aku perkenankan permohonan mu itu”. Selain itu, sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Tiadalah yang lebih dihargai oleh Allah SWT selain daripada doa.” Berikut dinyatakan beberapa sandaran dalil bagi menjelaskan bahawa doa yang dipanjatkan oleh orang yang masih sampai kepada orang yang telah meninggal dunia.
1) Sesungguhnya doa seorang anak soleh kepada arwah ibu bapanya adalah amalan yang boleh menjadi penyambung pahala mereka di alam barzakh. Perkara ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Abu Hurairah yang bermaksud: ‘Apabila mati Seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa daripada anaknya yang soleh. ‘ (Hadis riwayat Muslim).
2) Dalam mengerjakan solat jenazah, selepas takbir ketiga, doa dibacakan untuk memohon kebaikan kepada si mati.
Antara doa yang selalu dibaca bermaksud: “Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia dan jauhilah dia daripada bala. Konsep doa seperti yang dianjurkan oleh Islam bukan semata-mata untuk peribadi Muslim itu sendiri atau orang yang masih hidup, tetapi mencakupi doa kepada mereka yang telah meninggal dunia, muliakanlah tempatnya, luaskanlah tempat masuknya (kubur), bersihkanlah dia dengan air, air saiji dan air embun, bersihkanlah dia daripada dosa-dosanya seumpama baju putih yang bersih daripada kotoran, gantikanlah rumah yang lebih balk daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, isteri yang lebih baik daripada isterinya, masukkanlah dia ke dalam syurga, lindungilah dia daripada azab kubur dan seksa api neraka.” (Hadis riwayat Muslim). Dalam solat jenazah, Nabi juga pernah membaca doa bermaksud: “Ya Allah, ampunilah orang yang masih hidup dan kalangan kami yang sudah meninggal dunia, yang hadir mahupun yang ghaib, yang kerdil mahupun yang besar, yang lelaki mahupun perempuan. Ya Allah, sesiapa antara kami yang masih hidup, hidupkanlah dia dalam agama Islam dan sesiapa dan kalangan kami yang engkau matikan, maka matikanlah dia dalam iman” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dan lbn. Majah).
Rasulullah juga pernah berdoa maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya polan bin polan ini adalah dalam tanggungan-Mu dan pemeliharaan-Mu, maka lindungilah dia danpada fitnah kubur dan azab neraka, kerana Engkaulah zat yang memenuhi janji dan pemilik segala puji. Ya Allah, ampunilah dan berilah rahmat kepadanya kerana Engkau adalah zat yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ‘ (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)
Dalam hadis lain, daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda maksudnya: “Apabila kamu bersembahyang jenazah, maka berdoalah dengan ikhlas.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah).
3) Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar, bahawa ulama bersepakat bahawa doa kepada si mati sampai dan boleh mendapat manfaat daripada doa yang dibaca. Perkara ini berdalilkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr, ayat 10 bermaksud: “Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar) berdoa: Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman terdahulu daripada kami” Ayat ini menjelaskan doa orang Muhajirin dan Ansar kepada saudara mereka yang terlebih dulu beriman daripada mereka. Ia menunjukkan bahawa amalan berdoa kepada orang yang telah meninggal dunia adalah dibenarkan, kerana jika dilarang pasti ayat itu tidak termaktub dalam al-Quran. Apabila doa itu dibolehkan, maka apatah lagi jika doa itu datangnya daripada anak soleh buat arwah ibu bapa mereka. Ia pasti dibenarkan juga.
4) Sewaktu melalui perkuburan Baqi’, Nabi sering mendoakan mereka dengan doanya yang bermaksud: “Ya Allah, ampunilah dosa ahli Baqi yang berbahagia ini.”
5) Ketika memasukkan jenazah ke dalam kubur, ada doa yang diajar oleh Rasulullah. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Syafie dalam kitab Mukhtasar al-Muzani. Imam al-Nawawi ada memetik hadis itu seperti dalam kitab al-Azkar: “Ya Allah, tambahlah kebaikan kepadanya, ampunkan kesalahannya, selamatkan dia daripada azab kubur, himpunkan dia dengan rahmat-Mu serta keamanan daripada azab-Mu. Ya Allah, berilah pengganti kepada orang yang ditinggalkannya, tinggikan darjatnya, kembalikan dia dengan kelebihan rahmat-Mu, Ya Arhamar Rahimin.”
6) Selepas selesai pengebumian, Rasulullah berdiri di atas kubur dan berdoa maksudnya: “Pohonlah keampunan buat saudaramu dan pohonlah ketetapan baginya kerana dia sekarang disoal.” (Hadis riwayat Abu Daud)
7) Apabila melalui tanab perkuburan, Rasulullah mengajar umatnya berdoa memohon keampunan dan kesejahteraan buat ahli kubur. Antara doa yang diajar Baginda ialah: ‘Salam atasmu wahai penduduk kampung daripada golongan mukminin dan Muslimin, kami insya-Allah akan mengikuti kamu. Kamu adalah pelopor kami dan kami akan menjadi pengikut kamu dan kami memohon kepada Allah agar kami dan kamu juga diimpahi keselamatan oleh Allah.’ (Hadis riwayat Muslim) Nabi juga pernah berdoa: “Salam sejahtera ke atas mu wahai ahli kubur, semoga Allah mengampunkan dosa kami dan dosa kamu, kamu adalah golongan perintis dan kami akan menuruti jejakmu.” (Hadis riwayat at-Tirmizi). Berdasarkan keterangan di atas, ada doa yang dibacakan untuk mereka yang meninggal dunia. Ia adalah bukti bahawa amalan itu ada manfaatnya kepada si mati. Jika tidak mendatangkan apa-apa manfaat, pasti Rasulullah tidak menganjurkan perbuatan itu untuk dilakukan oleh orang Islam. Doa yang dibaca oleh Nabi untuk membantu meringankan kesusahan dan kesengsaraan ahli kubur di alam barzakh. Dalam hal ini, Rasulullah melakukannya dan itu bererti perbuatan berkenaan bukan sia-sia, tetapi datang daripada wahyu Allah sendiri. Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat bahawa manusia yang masih hidup boleh menjadikan perbuatannya sebagai pahala kepada si mati, termasuk bacaan al-Quran.
8) Rasulullah SAW pernah mendoakan sahabatnya Abi Salamah ketika akhir hayatnya. Antara doa tersebut ialah : “Janganlah kamu meratapi dirimu kecuali dengan baik kerana malaikat akan mengaminkan apa yang kamu ucapkan. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa Abu Salamah, angkatlah darjatnya berserta orang yang mendapat petunjuk, lapangkanlah kuburnya, sinarilah dia dalam kuburnya dan berilah pengganti untuk orang yang ditinggalkannya.”
Rumusannya, doa arwah adalah salah satu rahmat yang Allah SWT kurniakan kepada umat Rasulullah SAW sebagai wadah untuk menghubungkan antara alam dunia dengan alam barzakh sebelum semuanya dikumpulkan di alam masyhar. Oleh itu, doakanlah serta sedekahkanlah tilawah ayat-ayat suci al-Quraan kepada nasab keturunan yang telah meninggal dunia, dan doakan kerahmatan untuk seluruh umat muslimin dan muslimat samaada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Sesungguhnya mereka yang telah pergi tertunggu-tunggu dua unsur tersebut daripada anak pinak serta saudara-maranya di alam dunia. Walloh hu a’lam.

No comments:

Post a Comment