Thursday, September 2, 2010

Fadhilat Selawat

Fadhilat Selawat

Ramadhan semakin kepenghujung, bererti hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam berpeluang melakukan solat sunat terawikh, Solat sunat terawikh hanya khusus dilakukan pada malam bulan Ramadhan tetapi tidak pada bulan-bulan lain. Itulah juga antara kamuliaan yang Allah swt kurniakan pada bulan Ramadhan al-Mubarak. Semasa bersolat terawikh, umat Islam berselawat sakan, mungkin antara selawat yang lebih banyak disebut berbanding dengan bulan-bulan Islam yang lain, itu pun bagi umat yang menunaikan solat sunat terawikh di masjid yang berterawikh di rumah ataupun yang belum berterawikh, bagaimanalah pula?.

Kepada umat Islam, berselawat adalah amalan yang selalu membasahi bibir mulut, kerana ganjaran yang Allah s.w.t kurniakan kepada insan yang mengamalkan selawat adalah sangat besar. Namun, apakah kurniakan itu?. Di bawah telah saya senaraikan beberapa fadhilat selawat untuk renungan bersama, semoga hari-hari akhir Ramadhan ini masih sempat untuk kita mencari peluang melakukan ibadah yang masih tersisa. Antaranya:

1. Sesiapa yang mengamalkan membaca selawat 3 kali setiap selepas solat 5 waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.

2. Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana Allah s.w.t akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain.

3. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

4. Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaan-Nya.

5. Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadapi kesukaran hidup.

6. Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah s.w.t akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.

7. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insya Allah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

8. Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin Allah s.w.t dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain.

9. Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau sekali pada malam Jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi.

10. Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali sehari, insyaAllah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada lelaki @ wanita.

11. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali pada air dan minum. InsyaAllah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.

12. Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.

13. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, insyaAllah akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.

14. Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah s.w.t akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.

15. Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmat-Nya.

16. Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah s.w.t akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.

17. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah s.w.t akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.

18. Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.

19. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, InsyaAllah akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki dan sebagainya dalam dirinya.

20. Sesiapa yang amalkan berselawat 1000 kali pada malam Jumaat, insyaAllah akan beroleh kebahagiaan sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

21. Sabda Rasullah SAW: Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah s.w.t akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda – (Hadis Riwayat Muslim).

22. Allah s.w.t akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardu. Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah s.w.t akan hajatnya.

23. Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.

24. Para Ulamak berpendapat, Allah s.w.t akan sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.

25. Sabda Nabi s.a.w : Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya – Hadis Riwayat Abu Naim.

26. Sabda Nabi s.a.w : Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang setiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat – Hadis Riwayat Thabrani

27. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah s.w.t.

28. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda s.a.w.

29. Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, insyaAllah dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.

Terdapat pelbagai jenis selawat rasul seperti selawat syifa, selawat tafrijiyyah, selawat nariyah dan sebagainya. Oleh itu , untuk mendalami selawat dan jenis-jenis selawat tersebut, rujuklah kepada mereka yang arif, jangan hanya bergantung kepada buku semata-mata.

Betapa Allah s.w.t anugerahkan kepada umat Nabi bongsu Rasulullah s.a.w akan fadhilat yang sangat-sangat besar apabila kita melafazkan kalimah-kalimah selawat. Oleh itu, sementara Ramadhan yang masih tersisa ini, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan ibadah selawat yang kita lakukan ini dikurniakan ganjaran daripada Allah s.w.t. walloh hu a’lam.

Tuesday, August 10, 2010

Syarat Puasa



SYARAT WAJIB PUASA
1.Berakal
2.Baligh.
3.Mampu berpuasa.

SYARAT SAH PUASA.
1.Islam.
2.Mumayiz
3.Suci dari hadas besar
4.Pada waktu yang dibolehkan berpuasa.

RUKUN PUASA
1. Niat puasa
2. Menahan diri dari perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
1.Makan atau minum dengan sengaja
2.Muntah dengan sengaja.
3.Pergaulan suami isteri
4.Gila.
5.Keluar mani
6.Haid
7.Memasukkan sesuatu kedalam rongga badan dengan sengaja.
8.Pengsang sepanjang hari.
9.Berbuka puasa sebelum masuk waktunya.
10.Murtad.

SUNAT PUASA
1.Segara berbuka puasa apabila telah yakin masuk waktu.
2.Berbuka dengan buah kurma atau sesuatu yang manis atau dengan air.
3.Berdoa sebelum berbuka puasa / waktu berpuasa.
4.Makan sahur selepas tengah malam.
5.Mengakhirkan waktu bersahur.
6.Memberi sedekah makanan untuk orang berbuka puasa.
7.Amalkan bersedekah sepanjang bulan Ramadhan.
8.Amalkan membaca al-Quran.
9.Perbanyakkan solat sunat dan berzikir.
10.Hidupkan waktu malam dengan ibadat.
11.Jauhi dari perkara-perkara yang boleh merosakkan pahala puasa.

PUASA SUNAT
• Puasa 6 hari di bulan syawal
Sabda Rasulullah yang berbunyi " Barang siapa berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian dia berpuasa pula 6 hari pada bulan syawal adalah seperti puasa sepanjang tahun – Riwayat muslim.

• 10 Muharram (hari asura)
Sabda Rasulullah "Puasa hari asura itu menghapuskan dosa satu tahun yang telah lalu " Riwayat Muslim


• Puasa bulan Syaban
Kata Aisyah "Saya tidak melihat Rasulullah menyempurnakan puasa satu bulan cukup selain dari bulan Ramadhan,dan saya tidak melihat beliau pada bulan-bulan yang lain berpuasa lebih banyak dari bulan Syaban" Riwayat Bukhari.

• Isnin dan khamis
Dari Aisyah "Rasulullah memilih waktu puasa hari isnin dan khamis

• Puasa pada tarikh 13,14,15 kelendar Islam
Rasulullah telah bersabda "Hai abu zar apabila engkau hendak berpuasa hendaklah berpuasa hanya tiga hari dalam satu bulan, hendaklah engkau berpuasa pada 13,14,15. Riwayat Ahmad dan Nasai.

Ramadhan




PINTU SYURGA TERBUKA SEPANJANG RAMADHAN

Daripada Al-Kabir dari Abu saed Al-Khudry r.a. katanya “Rasulullah S.A.W.telah bersabda yang bermaksud” sesungguhnya pintu-pintu syurga di buka dalam bulan Ramadhan dari awal malam pertama sehingga ke ahkirnya.Pintu syurga itu tidak ditutup sehingga malam terakhir di dalam bulan Ramadhan.Bagi setiap hamba Allah S.W.T.yang melakukan solat wajib dan sunat pada malam bulan Ramadhan Allah akan menulis untuknya bagi setiap sujud yang dilakukan dengan seribu tujuh ratus kebaikan dan dibina untuknya satu mahligai di dalam syurga daripada yaqut berwarna merah yang mempunyai tujuh ribu pintu.

Bagi setiap pintu mempunyai dua pemegang yang diperbuat daripada emas tempa dengan yaqut berwarna merah.Jika berpuasa pada hari pertama pada bulan tersebut Allah swt akan ampunkan setiap dosanya hinggalah hari terakhir dalam bulan Ramadhan .Allah swt kurniakan sebuah mahligai setiap hari bagi hambanya yang melakukan ibadat puasa dengan sempurna didalam syurga,yang mempunyai seribu pintu daripada emas.Seribu Malaikat akan memohon keampunan untuknya dan awal paginya hingga dilindungi hari itu oleh tabir malam.Bagi setiap sujud yang dilakukan pada waktu malam atau siang Allah swt akan menumbuhkan sebatang pokok di dalam syurga yang bakal menjadi miliknya kelak dan keluasan syurga itu pula tidak mampu dikelilingi oleh seorang penunggang kuda yang pantas dalam jarak masa seratus tahun.

Ibnu Abas as pula meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud, Sesungguhnya syurga itu berbau harum dan dihiasi dengan seindah-indahnya didalam bulan Ramadhan,sejak permulaan tahun hinggalah penghujung tahun untuk menyambut kedatangan bulan yang mulia itu.Pada malam pertama bulan Ramadhan bertiupan angin dari bawah Arasy yang dipanggil Muisarah dan tiupannya menyebabkan daun-daun di dalam syurga berbunyi dengan bunyi yang tidak pernah didengari sebelum ini.Bidadari-bidadari yang berhias pada malam itu akan keluar keanjung mahligai didalam syurga lalu merayu “Adakah sesiapa dari kalangan hamba Allah swt yang berdoa pada malam ini agar kami menghawani mereka” Bidadari itu menyeru “Wahai Ridhwan (penjaga Syurga) malam apakah ini” Jawab Ridhwan sambil bertalbiah “Allahumllabaik” Sesungguhnya inilah malan pertama dari malam bulan Ramadhan.dimana puntu-pintu syurga akan dbuka kepada mereka yang berpuasa didalam bulan Ramadhan ini dikalangan umat Nabi Muhammad saw.

Selanjutnya Rasulullah saw bersabda Allah Azza wajalla berfirman “Wahai Ridhwan bukakanlah pintu-pintu syurga dan Wahai Malik (Malaikat penjaga Neraka) tutupilah pintu-pintu neraka bagi mereka yang mengerjakan puasa dari kalangan umat Nabi Muhammad saw.Wahai Jibril as turunlah kamu kebumi dan ikatlah semua iblis dan syaitan yang dilaknati agar mereka tidak dapat menjalankan tipu dayanya dan merosakkan puasa orang-orang yang berpuasa dikalangan umat Nabi Muhammad saw.

Tuesday, August 3, 2010

Terapi al-Quran


Bergambar bersama En Mohd Naim Niamat penerbit rancangan misteri di salah sebuah tv swasta.


Bergambar bersama ustaz Syarhan Syafie di Sandakan, Beliau merupakan seorang pengamal rawatan berasaskan al-Quran, dan beliau telah beberapa kali datang membimbing saudaranya di Sandakan dan Kinabatangan berkaitan rawatan berasaskan al-Quran.



Terapi al-Quran

Kaedah rawatan yang menegahkan kaedah doa yang bersumberkan daipada ayat-ayat suci al-Quran sebagai kaedah rawatan alternative bukanlah mudah untuk diaplikasikan dialaf baru ini, walaupun kaedah tersebut telah sekian lama diamalkan dari zaman berzaman. Namun, masyarakat kini belum terdedah secara khusus berkaitan falsafah serta hakikat kaedah rawatan yang bersumberkan doa-doa tertentu sehingga menyebabkan kaedah rawatan seperti ini sering dianggap sebagai kaedah rawatan tempelan, tradisional, tak releven dengan peredaran zaman, bahkan ada yang beranggapan kaedah tersebut sejajar dengan amalan bidaah, karut marut, serta pemujaan.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila terdapat pengamal rawatan alternative yang mendampingkan diri mereka dengan pelbagai jenis makhluk halus, jampi mentera, serapah serta diselitkan dengan ungkapan-ungkapan yang diserapkan dengan unsur-unsur Islam seperti salam, basmalah, nama-nama nabi juga malaikat dan sebagainya.

Apabila unsur tersebut masih melingkari persekitaran masyarakat, ia menyebabkan usaha untuk menembusi kembali minda masyarakat supaya kembali menerima kaedah doa sebagai suatu kaedah rawatan alternative lebih berhadapan dengan kemelut rumpun persekitaran masyarakat. Masyarakat yang pernah terjajah fizikal dan minda lebih 400 tahun serta terasuh dengan kehidupan moden lebih suka mempersoalkan mungkinkah sesuatu penyakit boleh dirawat dengan hanya menggunakan doa dan mungkinkah sakit manusia boleh sembuh dengan menggunakan air sahaja. Harus disedari air yang diminum itu pernah menjadi kegunaan oleh nabi Ayub, menghanyutkan ikan nabi Khaidir, melancarkan bahtera nabi Nuh, melepaskan nabi Yunus dari perut ikan, menemukan nabi Sulaiman dengan seorang ahli ibadah dari dasar laut, menjadi hujan, menjadi sunami, menjadi gelora, menenggelamkan Firaun bahkan pelbagai lagi.

Anggapan sebegitu rupa muncul daripada masyarakat yang enggan memahami atau tidak menerima konsep doa dan rawatan yang bersumberkan kepada ayat-ayat suci al-Quran serta al-Hadith berdasarkan bimbingan yang pernah diaplikasikan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Keadaan ini lebih bercelaru apabila wujud golongan yang terdidik dengan didikan agama cuba menafikan logik penggunaan doa sebagai salah satu cara untuk mengatasi masalah manusia.

Punca sebenar keengganan mereka yang tidak mempelajari agama untuk menerima doa sebagai salah satu kaedah rawatan adalah jelas, iaitu kerana mereka tidak memehami konsep doa menurut syariah Islamiah. Walaupun demikian, masyarakat sedar penyakit bukan semata-mata berpunca daripada gangguan fizikal, tetapi juga berpunca daripada gangguan mental, yang berkaitan dengan hati ataupun roh yang lebih sesuai dirawat menggunakan ayat-ayat al-Quran,al- Hadith, doa-doa dan sebagainya.

Menurut Ibnu al-Qayyim jenis-jenis rawatan merangkumi, rawatan penyakit rohani dan jasmani. Penyakit rohani melibatkan dua jenis iaitu perasaan cemas dan ragu serta nafsu yang tidak terkendali. Rawatan penyakit tersebut mustahil dapat dilakukan tanpa petunjuk Rasulullah s.a.w dan ketenangan rohani hanya dapat diperolihi dengan mengenal Allah s.w.t yang mencipta sekalian alam. Bagi penyakit jasmani, rawatan penyakit dilakukan dengan salah satu daripada tiga kaedah iaitu memelihara kesihatan, memperkuatkan ketahanan badan bagi menghadapi serangan penyakit dan merawat penyakit yang telah menimpa seseorang.

Namun demikian, sebagai umat Islam, kita tidak boleh menerima rawatan yang menggunakan kaedah-kaedah tertentu seperti tukang tilik, tukang nujum, tangkal, sihir serta ubat guna-guna.

Oleh itu, sebagai umat Islam, sewajarnya kita tidak meminggirkan penggunakan doa dalam kaedah kita merawat sesuatu penyakit disamping menerima kaedah rawatan moden. Para ulama sepakat bahawa, al-Quran boleh menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani manusia dengan izin daripada Allah s.w.t. Antara alasan mereka kemukakan ialah al-Quran bukan sahaja kitab hidayah, bahkan juga kitab yang boleh merawat penyakit manusia dengan syarat proses rawatan itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas, kosong hati dari syirik dan tidak melibatkan unsur-unsur yang haram.

Menurut imam Nawawi, merawat dengan bersumber kepada ayat-ayat suci al-Quran tidak sesuai bagi orang tidak tahu menahu berkaitan al-Quran seperti kaedah tatabahasa Arab, tajwid, fasahah dan sebagainya yang boleh menyebabkan kesucian al-Quran tercemar apabila seseorang perawat itu jahil berkaitan al-Quran.

Sebaliknya seseorang yang memperlengkapkan diri dengan ilmu agama yang mantap, mempunyai aqidah yang kuat, tahu sedikit sebanyak berkaitan tatabahasa Arab yang betul, dengan itu barulah al-Quran benar-benar menjadi penawar kepada penyakit rohani dan jasmani manusia.

Dalam melakukan rawatan, Rasulullah s.a.w memerintahkan umatnya mengambil rawatan apabila mereka menghadapi satu-satu penyakit dan tidak bolah membiarkan diri mereka binasa kerana sesuatu penyakit sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Setiap penyakit itu ada ubatnya, apabila ubat itu berjaya mengalahkan penyakit, berlakulah kesembuhan dengan izin Allah s.w.t”. Menurut ibnu al-Qayyim al-Jaeziyyah, penegasan nabi s.a.w. “Setiap penyakit ada ubatnya” merupakan daya pendorong yang kuat kepada pesakit mahupun bagi para doktor, untuk terus berusaha mencari ubat kepada sesuatu penyakit.

Selain dari itu, Rasulullah s.a.w menggalakkan seseorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang rawatan, supaya bukan sahaja merawat diri sendiri, malahan juga merawat orang lain yang terkena panyakit. Rasulullah pernah bersabda bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh seorang Arab Dusun berkaitan keperluan mengambil rawatan yang bermaksud: “Ya, wahai hamba-hamba Allah s.w.t berubatlah anda sekalian, sesungguhnya Allah s.w.t tidak meletakkan penyakit kecuali turut meletakkan penawar atau ubatnya, kecuali satu jenis penyakit sahaja. Para sahabat bertanya: Apakah penyakit itu wahai Rasulullah s.a.w? Jawab baginda: Penyakit tua.

Jelas bahawa, nyawa merupakan suatu yang penting kepada manusia, kerana itu, jika terdedah kepada bahaya penyakit, rawatan yang sewajarnya perlu dilakukan segera sama ada menggunakan kaedah rawatan moden yang canggih dibantu oleh doktor-doktor yang pakar dalam bidang masing-masing serta kaedah terapi al-Quran, al-Hadith dan doa. InsyaAllah, kesembuhan itu hanya tertentu dibawah kekuasan Allah semata-mata. Manusia ditugaskan berusaha dan beriktiar sebelum bertawakal. Dan takabbur itu akan membinasakan.

Monday, August 2, 2010

Tasbeh

Tasbeh

Syukur Alhamdulillah, di penghujung bulan Syaaban ini, saya masih diberi kesempatan oleh Allah swt untuk menulis beberapa perihal berkaitan keagamaan yang mungkin memberi manfaat kepada sesiapa yang ingin mengambil manfaat darinya. Kali ini saya ingin berkongsi berkaitan tasbeh. Tasbih agak sinonim dengan amalan zikir, wirid, tahlil dan sebagainya. Tambahan beberapa ketika dahulu saya, diusik oleh seorang rakan jemaah perihal penggunaan tasbeh. Katanya “anta menggunakan tasbeh ni, anta dah terima ijazahnya ke?...”. Mingkin dikesempatan yang ada ini tidak mampu untuk membahaskan perihal tasbeh tersebut secara keseluruhan, namun, apa yang diharapkan pada ruang ini dapat menambah pengetahuan pembaca berkaitan tasbeh. Insyaallah.

Alat kiraan tasbeh berantai asalnya ialah suatu alat berzikir yang dicipta dan digunakan oleh penganut-penganut agama Nasrani yang digelar ‘rosary’. Mangukut kajian lain alat tasbeh juga mempunyai asal usul daripada agama lain, contohnya agama Hindu, ianya di gunakan oleh kumpulan Brahman, India yang disebut dalam bahasa Sanskrit sebagai ‘Jibmala’. Agama Buddha juga ada megunakan tasbeh berantai ini, dan ianya di sebut sbg ‘Wisnuisme’. Alat-alat sebegini telah wujud sebelum Islam setelah kedatangan Islam, agama yang murni ini mengajar umatnya berzikir dengan cara kiraan jari sendiri. ( Sheikh al-Hamih al-Husaini: Pembahasan Tuntas Perihal Khilafiyah )

Demikian, asal usul kiraan berantai ‘tasbeh’ yang tanpa disedari, digunakan oleh ramai umat Islam kini. al-Quran dan hadith juga melarang umat Islam daripada meniru adat istiadat dan perbuatan orang bukan Islam. Apatah lagi cara peribadatan mereka. Namun, Rasulullah s.a.w tidak menghalang umatnya mengunakan sesuatu selain jari-jari tangan mereka sebagai cara mengira zikir ‘sunnh taqririyah’, iaitu persetujuan Rasulullah s.a.w dengan cara baginda tidak menghalang sesuatu yang dilakukan. Namun, harus dingat bahawa ‘sunnah taqririyah’ berkedudukan selepas ‘sunnah kauliyah’ dan kemudiannya ‘sunnah fi’iliyyah’.

Oleh demikian, adalah tersabit berdasarkan hadith-hadith Rasulullah s.a.w bahawa baginda berzikir, membilang dengan jari-jarinya. Daripada Abdillah bin Amr r.a berkata “Aku melihat Rasulullah s.a.w menghitung bacaan tasbeh dengan tangan kanannya.” Hadith riwayat Tarmizi. Selain itu, Abdillah bin Amr r.a juga telah berkata: Aku melihat Rasulullah s.a.w menghitung-hitungkan jarinya seraya bersabda “Jika salah seorang daripada kamu hendak tidur lalu dia bertasbeh 33 kali (Subhanallah), bertahmid 33 kali (Alhamdulillah) dan bertakbir 34 kali (Allahu Akbar); maka hal ini akan terhitung sebagai 100 di dalam lisan dan akan terhitung sebagai 1000 di dalam timbangan. Hadith riwayat an-Nasai.

Yasirah r.a berkata, Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada kami: “Bacalah tahlil, tasbeh dan taqdis tetapi jangan lupa, yang akibatnya kamu melupakan rahmat (Allah). Oleh kerana itu, hitunglah dengan jari-jari, kerana jari-jari itu kelak akan ditanya dan akan berbicara”. Hadith riwayat Imam Ahmad.

Selain daripada itu, dibolehkan juga menghitung zikir dengan sesuatu alat lain. Di zaman Rasulullah s.a.w baginda membolehkan pengunaan batu-batu kecil atau biji-bijian sebagai cara mengira zikir. Sebagaimana hadith berikut : Saad bin Abi Waqqash r.a menceritakan , sesungguhnya dia pernah masuk ke rumah seorang wanita bersama Rasulullah s.a.w sedang di tangan wanita itu ada biji-bijian atau batu kerikil yang ia pakai untuk membaca tasbeh.
Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Mahukah kamu aku beritahu sesuatu yang lebih mudah bagi kamu daripada ini dan justeru lebih utama? Iaitu bacalah Subhanllah …” Hadith Riwayat imam Tirmizi.

Shafiyyah berkata bahawa Rasulullah s.a.w pernah masuk ke rumahku sedang di tangan aku ada empat ribu biji-bijian yang aku pakai untuk bertasbeh, lalu dia bertnya “bukankah telah aku ajarkan kepada kamu bertasbeh dengan sesuatu yang lebih banyak dari itu?” Shafiyyah berkata: “ajarkanlah aku!” Rasulullah s.a.w bersabda : Bacalah: “Subhaana loh hi a’dada kholkih” yang bermaksud: maha suci Allah sebanyak makhluknya “ Hadith riwayat Tarmizi.
Daripada hadith tersebut jelas bahawa Rasulullah s.a.w tidak menghalang umatnya mengunakan sesuatu selain jari-jari tangan mereka sebagai cara mengira zikir ‘sunnh taqririyah’, iaitu persetujuan Rasulullah s.a.w dengan cara baginda tidak menghalang sesuatu yang dilakukan. Namun, harus dingat bahawa ‘sunnah taqririyah’ berkedudukan selepas ‘sunnah kauliyah’ dan kemudiannya ‘sunnah fi’iliyyah’.

Diantara pilihan berzikir dengan jari-jari, atau sesuatu selain daripadanya, maka hendaklah diutamakan pengunaan jari-jari tangan, kerana terdapat anjuran untuk mengunakannya. Selain itu, jari seseorang itu akan menjadi saksi bagi dirinya di akhirat. Lebih utama daripada itu, berzikir dengan jari adalah dicontohi sendiri oleh Rasulullah s.a.w dan baginda adalah sebaik-baik contoh untuk tauladan.

Akan tetapi, tidaklah digalakkan mengunakan alat kiraan yang berupa rantai atau susunan manik-manik dalam sekalung tali. Ianya lebih di kenali sebagai ‘tasbeh’ pengunaan tali rantai tasbeh atau lain-lain bentuk alat kiraan berantai sebenarnya adalah peniruan terhadap cara berzikir agama Nasrani. Agama Islam menegah kita daripada meniru adat orang belum Islam. ( fundamentals of tawheed, ms 160, hasil tulisan Rr.Abu Ameenah Bilal Philips )

Akhir kata kita elakkan dripada meniru apa-apa pun amalan yang condong kepada amalan agama lain. Menghitung bacaan tasbeh dengan jari tangan adalah cara Rasulullah saw dan baginda adalah sebaik-baik contoh teladan. Namun, saya tiada jawapan bagi persoalan penggunaan tasbeh perlu kepada pengijazahan daripada guru. Kerana nabi pun tidak menggunakan tasbeh, jadi yang menjadi persoalan lain pula guru yang mengijazahkan tasbeh itu, terima ijazah daripada siapa…?.

Friday, July 9, 2010

Fadhilat Ayat al-Kursi

Fadhilat Ayat Kursi

Ayat al-Kursi diwahyu oleh Allah swt kepada Rasulullah saw setelah hijrah. Ketika ayat ini diturunkan beribu-ribu Malaikat mengiringi ayat tersebut kerana kehebatan dan kemuliaannya yang Allah swt ganjarkan padanya. Sebaliknya pula, menjadi gempar sekalian Syaitan dan Iblis yang terkejut besar kerana datangnya satu perintang yang akan menghalang aktiviti penyesatannya. Nabi Muhammad saw segera memerintahkan Zaid bin Sabit menulis serta menyebarkannya. Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, pagi dan petang, keluar masuk rumah atau hendak musafir, insyaAllah akan terpelihara dirinya daripada godaan Syaitan, kejahatan manusia dan binatang buas yang akan memudaratkan.

Ayat al-Kursi bukan saja melindungi dirinya sendiri, bahkan keluarga, anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah. Mengikut ketenangan kitab ‘Asraarul Mufidah’, sesiapa mengamalkan membacanya Setiap hari sebanyak 18 kali, maka akan dibukakan dadanya dengan pelbagai hikmah. Begitu juga dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh hingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara dia daripada segala bencana dengan izin Allah. Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, Umat Islam yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, insya-Allah, Allah swt akan mencerdaskan akal fikirannya serta memudahkannya menerima ilmu pengetahuan.

Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat al-Kursi, Allah swt hilangkan segala kefakiran di depan matanya.” Sabda Baginda lagi: “Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar. Orang yang selalu membaca ayat al-Kursi dicintai dan dipelihara Allah swt seperti Dia memelihara Nabi Muhammad.

Mengamalkan bacaan ayat al-Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya. Serta, akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah swt daripada gangguan serta hasutan Syaitan. Pengamal ayat al-Kursi juga, dengan izin Allah swt, akan terhindar daripada pencerobohan mahupun pencuri. Ayat al-Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.

Ayat al-Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, insya-Allah, boleh menyebabkan Syaitan dan Jin terbakar. Jika anda berpindah ke rumah baru, maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah swt mewakilkan dua malaikat memeliharanya hingga subuh. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi pada akhir setiap sembahyang fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi pada akhir setiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk Syurga kecuali maut. Umat Islam yang membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah di sekitarnya. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah ada menyebut perihal seekor Syaitan yang duduk di atas pintu rumah. Tugasnya ialah untuk menanam keraguan di hati suami terhadap kesetiaan isteri di rumah dan keraguan di hati isteri terhadap kejujuran suami di luar rumah. Sebab itulah Rasulullah saw tidak akan masuk rumah sehingga Baginda mendengar jawapan salam daripada isterinya. Di saat itu Syaitan akan lari bersama-sama dengan salam itu. Hikmat Ayat al-Kursi mengikut Hadis-hadis, sesiapa membaca ayat al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi di akhir setiap sembahyang fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah swt hingga sembahyang yang lain.

Umat Islam membaca ayat al-Kursi di akhir setiap sembahyang, tidak mencegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut dan umat Islam yang membacanya ketika hendak tidur, Allah swt memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah-rumah di sekitarnya. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi di akhir tiap-tiap sembahyang fardhu, Allah swt menganugerahkan dia setiap hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi serta Allah swt melimpahkan padanya rahmat. Umat Islam membaca ayat al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah swt mengutuskan tujuh puluh ribu Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

Selain itu, umat Islam yang membaca ayat al-Kursi di akhir sembahyang, Allah swt akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah swt berkenan memberi pertolongan kepadanya. Dari Abdullah bin 'Amr r.a, Rasulullah saw bersabda:" Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga dapat kita mengamalkannya dalam kehidupan seharian. InsyaAllah.

Thursday, May 27, 2010

Tarikat Dan Kesufian

Tarikat Dan Kesufian

Telah menjadi fitrah setiap manusia mempercayai kewujudan zat yang Maha Berkuasa. Kepercayaan tersebut akan menjadikan insan yang sempurna akal berpegang kepada prinsip beragama dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah swt. Usaha untuk mengabdikan diri kepada Allah swt perlu berpandukan kepada bimbingan wahyu, dan wahyu disampaikan oleh Allah swt melalui malaikat Jibril, hanya kepada Nabi dan Rasul sahaja. Sebaliknya, tanpa bimbingan wahyu manusia akan tersasar dengan kesesatan yang nyata, terutamanya dalam dua perkara asas yang tidak mampu dijelaskan oleh akal melainkan dengan bimbingan wahyu iaitu:

1) Dalam mensifatkan Tuhan yang sebenar.
Berpandukan akal yang terbatas, manusia cuba mengkonsepkan Tuhan dengan fizikal-fizikal yang tertentu. Bagi agama A begitu Tuhannya, berbeza dengan Tuhan agama B, dan tidak sama dengan Tuhan agama C. Berpandukan akal semata-mata, ternyata manusia teraba-raba dalam mencari tuhannya. Oleh itu, Islam melarang umatnya mengkonsepkan Allah swt melainkan dengan sumber wahyu sama ada al-Quran dan al-sunnah.

2) Dalam menjalani ibadah yang dikehendaki oleh Tuhan.
Manusia juga tidak mampu menentukan cara beribadah tanpa berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Ini kerana ibadah adalah agama dan agama tidak boleh diambil sumbernya melainkan hanya wahyu dari Allah swt sahaja. Oleh itu, Islam menolak menokok tambah ibadah tanpa sumber daripada al-Quran dan as-Sunnah.
Oleh demikian, ibadah yang bersumberkan daripada al-Quran dan as-Sunnah akan sempurna apabila ianya berteraskan beberapa ciri-ciri tertentu antaranya:

1) Ibadah hendaklah dibina berteraskan aqidah yang sahih dan jelas.
Sesiapa yang tidak beriman dengan iman yang diredhai oleh Allah swt, maka ibadahnya tertolak. Sebagaimana Firman Allah swt yang bermaksud : dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun. (Surah al-Nisa’ 124). Berdasarkan ayat tersebut jelas bahawa, beriman kepada Allah swt dalam erti kata mengambil Islam sebagai ad-Deen adalah syarat bagi melakukan amal soleh. Sebaliknya manusia yang rosak aqidah akan menyebabkan ibadahnya tertolak.

2) Ibadah yang sempurna adalah ikhlas kerana Allah swt.
Ikhlas sebagai seorang hamba dalam menunaikan perintah Allah swt. (sila rujuk tafsir surah al-Ikhlas) Ikhlas perlu wujud dalam bentuk pakej iaitu dari kata-kata, perbuatan dan niat yang tidak boleh terpisah walaupun salah satu daripadanya. Sebaliknya, keikhlasan beribadah akan rosak jika ibadah yang dilakukan itu bersyarat, seperti ibadah ini dilakukan untuk mendapatkan ini, syeikh ini menyuruh kita melakukan amalan ini, kita melakukan amalan ini supaya kita dilihat begini.
Unsur riya’ juga boleh menganggu keikhlasan beribadah. Menurut Ibn Jauzi (w. 597H) ‘dikalangan golongan zuhhad (golongan sufi) ada mereka memakai baju yang koyak tidak dijahit dan membiarkan serban dan janggutnya tidak terurus untuk menunjukkan dia tidak mementingkan dunia. Ini adalah dari bahagian riyak. Berdasarkan kritikan daripada Ibn Jauzi, sifat riyak boleh membelenggu keikhlasan beribadah jika tidak dikendalikan dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

3) Ibadah mestilah bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah saw. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud : Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari ugama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah al-Syura:21).

Menurut Dr. Yusuf al-Qardawi di dalam kitabnya yang berjudul al-Ibadah Fi al-Islam bahawa ibadah hendaklah dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan Allah swt dengan kaifiyyat yang diredhainya. Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan. Menurutnya lagi, tidak boleh bagi sesiapa pun dari kalangan imam-iman kaum muslimin sekalipun tinggi darjat ilmunya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana badan ilmu sekalipun hebat kedudukannya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana institusi ilmu, atau golongan dari kaum muslimin sama ada kecil atau besar untuk mencipta intida’ yang baru dalam agama Allah swt, atau menokok tambah ibadah yang ada dalam agama, atau mengubah cara yang dilakukan pada zaman Rasulullah swt. Ini kerana hanya Allah swt pembuat syariat dan al-Rasul adalah penyampai sedangkan kita hanyalah pengikut. Segala kabaikan dalam ibtida’ adalah mengikut apa yang ditentukan oleh Allah swt dan Rasulnya. Oleh itu, tarikat iaitu jalan beribadah menuju kepada Allah swt adalah terpuji jika berlandaskan kedua sumber agung tersebut.

Saya menulis berkaitan tarikat kerana sejak akhir-akhir ini telah muncul beberapa tokoh tarikat di kawasan tertentu yang agak menarik untuk diberi perhatian. Hal ini, demikian kerana beberapa faktor antaranya seperti pengikut yang sedang kehausan ilmu agama dan tercari-cari guru yang boleh membimbing …..

Sebagai umat Islam, kita telah sedia maklum bahawa Isi kandungan yang ada di dalam al-Quran dan as-Sunnah telah lengkap bagi keperluan umat Islam. Nas-nas al-Quran dan as-Sunnah telah menyediakan pelbagai penawar bagi rohani serta tazkiah al-Nafs. Ahli al-Sunnah berpegang bahawa tarikat untuk membersihkan rohani telah ditunjuk dengan jelas oleh Rasululah saw. Ia lebih dari jalan segala syeikh tarikat yang ada. Bahkan mana-mana tarikat yang bercanggah dengan jalan Rasulullah saw adalah tertolak.
Seterusnya, sebagai panduan kepada mereka yang ingin menghindari daripada penyelewengan kefahaman yang kadangkala wujud dalam golongan tarikat, kebiasaanya penyelewengan berlaku dalam beberapa keadaan yang dapat diperhatikan sebagaimana berikut :

1) Isi kandungan ajaran, dengan meneliti asas pegangan dan perjalanan sesuatu ajaran serta dibandingkan dengan apa yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah, maka kita akan dapat menemukan kebenarannya ataupun sebarang penyelewengan yang telah berlaku.

2) Melampau dalam memuliakan syeikh atau guru. Mereka memuliakan guru lebih daripada yang sepatutnya, sikap ini ditanam keminda murid agar mereka patuh dan tidak akan berhujah berkaitan apa-apa kesilapan yang berlaku.

3) Menegah muridnya menentang atau menyangkal sesuatu yang diperbuat oleh syeikh walaupun cukup nyata amalan yang dilakukan syeikh itu bercanggah dari ajaran Islam. Kebiasaanya syeikh akan berhujjah dengan kisah nabi Musa a.s dengan nabi Khidir a.s (rujuk surah al-Kahfi ayat 60-82).

4) Melebihkan kedudukan seseorang syeikh daipada kedudukan Rasulullah saw. Harus diingat Rasulullah saw adalah kekasih Allah swt, nama baginda juga terkandung didalam al-Quran, dua kalimah syahadah, bacaan tahyat dan sebagainya.

5) Perlu meminta izin syeikh sebelum melakukan sesuatu perkara seperti perjalanan, perkhawinan, pekerjaan dan sebagainya selain itu, keutamaan keperluan syeikh perlu didahulukan daripada keperluan murid.

6) Mensyaratkan ketaatan mutlak daripada murid. Iaitu meninggalkan ikhtiar diri, sebaliknya mematuhi arahan syeikh tanpa soal, pertimbangan, apatah lagi untuk membantahnya.

7) Membuat tafsiran yang aneh-aneh terhadap nas-nas agama dan mereka berbangga dengannya kerana mereka merasakan lebih pandai dan istimewa daripada orang ilmuan agama lain, kadangkala mereka mengatakan ilmu ladunni, ilham daripada Allah swt dan sebagainya bagi mematikan solan murid.

8) Kecacatan dalam manhaj al-Talaqqi iaitu kaedah bagi pengambilan sumber maklumat agama. Ahl al-Sunnah berpegang bahawa sumber rujukan Islam adalah al-Quran dan as-Sunnah dengan sanad perawi yang jelas sehingga kepada Rasulullah saw. Sebaliknya tarikat yang menyeleweng akan mejadikan pegangan asas mereka ialah kisah-kisah golongan sufi atau wali yang sukar dipastikan kesahihannya.

9) Menjadikan mimpi, ilham, kasyaf dan khayalan sebagai sumber agama. Sebagaiman firman Allah swt yang bermaksud :16. dan Demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa Yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,
Menurut Dr. Whabah al-Zuhaili: adapun ilham, ada kemungkinan ia daripada Allah swt, kemungkinan ia daripada Syaitan.

10) Sesetengah tarikat membawa kisah-kisah palsu untuk membuktikan kehebatan guru atau aliran tarikat mereka. Mereka mengada-adakan cerita-cerita karamah yang menyanggahi fakta-fakta Islam seperti boleh beryaqazah dengan orang-orang tertentu yang telah meninggal dunia dalam bentuk rupa yang asal.

11) Mereka mudah sekali untuk menyandarkan sesuatu hadith kepada Rasulullah saw. Menurut al-Imam Ibn al-Salah (w.643) golongan sufi antara penyumbang utama dalam pemalsuan hadith. Mereka berbuat demikian untuk menggalakkan orang ramai membuat kebaikan. Mereka membenarkan diri mereka melakukan pendustaan keatas nabi di dalam tarhib (menakutkan berkaitan dosa) dan targhib (menggalakkan beribadah).

Sebagai rumusannya, kita renungi maksud hatith yang berbunyi ‘ sesungguhnya Bani Israel berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak, kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak. Mereka bertanya ‘apakah puak itu wahai rasulullah?’ jawab baginda: ‘apa yang aku dan para sahabatku berada diatasnya’. Justeru rujukan kita dalam menentukan sesuatu perkara bukan pada nama atau sangkaan orang ramai, sebalikya pada isi kandungan yang diteliti secara adil dan saksama, semoga selamat dari kesesatan.




Tuesday, May 11, 2010

Selamat Hai Ibu

Selamat Hari Ibu

Pada 09 Mei 2010 bersamaan 24 Jamadilawal 1431H masyarakat diseluruh dunia telah mengadakan sambutan Ibu, kemeriahan acara sambutan tersebut diadakan dengan pelbagai cara keraian, ada yang mengadakan sembutan di rumah, kedai makan, hingga ke hotel bahkan juga melancong keluar negara. Walaupun begitu, tidak kurang juga sambutan hari ibu berkelangsungan dengan sebuah kenangan, kehibaan serta keinsafan, semua itu adalah kerana besarnya jasa seorang yang bergelar ibu.

Namun, cara sambutan hari ibu yang telah paparkan oleh media tempatan yang tertentu adalah agak terhad dan tidak menyeluruh. Hal ini demikian, kerana sambutan hari ibu yang dipaparkan oleh media adalah saduran sambutan hari ibu dari barat dan dipelopori serta dipopularkan juga oleh media barat seterusnya disuap kepada masyarakat kita dalam bentuk yang agak bercelaru dan tersasar dari nilai fitrah. Pembaca boleh menilai sendiri, di mana media yang memaparkan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu di alam baqa, sebaliknya fokus media lebih tertumpu kepada kewujudan ibu di alam fana ini sahaja. Sedangkan, Islam tidak membataskan hubungan dan sumbangan anak terhadap seorang ibu yang mana semasa hayat mereka di dunia ini sahaja.

Islam mendidik umatnya supaya tumpahkan segala ketaatan kepada ibu bapa dalam perkara yang tidak bertentangan dengan perintah Allah swt disepanjang hayat mereka dan seterusnya terus melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak walaupun selepas mereka menyambut panggilan ilahi. Perihal menghormati dan mentaati ibu bapa telah diberi penekanan oleh Islam semenjak lebih 1400 tahun dahulu. Itu dari sudut agama, dari sudut bangsa pula, masyarakat di Nusantara juga telah terbukti sangat menghormati ibu bapa berbanding masyarakat Barat, yang mana masyarakat Nusantara tidak memanggil ibu bapa mereka dengan sebutan nama sebaliknya dengan ungkapan-ungkapan terhormat tertentu, sebaliknya masyarakat Barat pada kebiasaannya memanggi ibu bapa mereka dengan sebutan nama sahaja. Seterusnya bagaimana pula dengan penghuni rumah-rumah orang tua di barat..?. Apa yang ingin dirumuskan bahawa, sewajarnya kita perlu ada kaedah dan modul tersendiri bagi menghargai jasa dan sumbangan Ibu bapa bukannya membuat saduran dari barat semata-mata.

Seterusnya apa yang dapat saya kongsi bersama dengan pembaca dalam ruangan yang terhad ini antaranya ialah, firman Allah swt didalam surah al-Israa ayat 23/24/25. Mafhumnya: dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.

Firman Allah swt didalam surah an-Nisa ayat 36. Mafhumnya: dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;

Firman Allah swt didalam surah Luqman ayat 14. Mafhumnya: dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Selain itu, diriwayatkan bahawa seorang sahabat daripada kaum Ansar pernah bertanya Nabi Muhammad saw, katanya: “Ya, Rasulullah! adakah masih ada tanggungjawab yang wajib saya lakukan selepas ibu bapa saya meninggal dunia? Jawab Baginda: Ada, iaitu berdoa, beristighfar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambung silaturahim yang tidak sempat dijalinkan kedua-duanya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). Berdasarkan dalil daripada al-Quran dan Hadis tersebut jelas bahawa, kewajipan anak terhadap Ibu bapa tidak hanya ketika mereka masih hidup. Bahkan, kewajipan itu tetap berterusan walaupun ibu bapa telah meninggal dunia.

Kewajipan utama seseorang anak selepas Ibu bapa meninggal dunia, iaitu berdoa dan memohon ke hadrat Ilahi supaya diberikan keampunan kepada Ibu bapanya serta nasab keturunannya yang beragama Islam dan menempatkan mereka dalam kalangan orang soleh. Bacaan doa yang dianjurkan dalam al-Quran adalah firman Allah yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil” (Surah al-Isra’, ayat 24).

"Wahai Tuhanku! ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa Yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam Segala zaman); dan janganlah engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!" (Surah Nuh, ayat 28)

"Wahai Tuhan kami! berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang Yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan" (Surah Ibrahim, ayat 41)

Namun demikian, umat Islam tidak boleh mendoakan keampunan bagi ibubapa dan sesiapa sahaja yang belum memeluk Islam ataupun mati dalam kekafiran. Perkara tersebut berdasarkan Firman Allah swt di dalam surah at-Taubah ayat 113-114. Mafhumnya: tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka. dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.

Seterusnya, tanggungjawab lain bagi setiap anak terhadap ibu bapa yang telah meninggal dunia adalah menyambung kembali jalinan ukhuwah kepada mana-mana orang yang tidak sempat dilakukan ibu bapa sebelum mereka meninggal dunia. Justeru, melaksanakan kewajipan kepada ibu bapa adalah ketaatan paling dituntut dalam Islam selepas ketaatan kepada Allah swt. Alangkah bahagia, seorang anak yang sempat berbuat baik dan taat kepada ibu bapa ketika hayat mereka, malah ia sentiasa diteruskan walaupun kedua-duanya sudah meninggal dunia. Tetapi, alangkah rugi seorang anak yang tidak menabur budi dan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Alangkah ruginya, alangkah ruginya, alangkah ruginya! Baginda ditanya: Siapakah dia yang rugi itu wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Mana-mana anak yang sempat dengan hayat kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang daripada kedua-duanya, (tetapi tidak berbuat baik dan menderhaka kepada kedua-duanya) lalu anak itu tidak dapat masuk syurga.” (Hadis riwayat Muslim dan at-Tirmizi).

Sesungguhnya, menderhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar yang dilarang Islam seperti difahami melalui sabda Rasulullah yang bermaksud: “Mahukah aku beritahu kepada kamu sekalian perbuatan dosa yang paling besar? Mereka menjawab: Ya, wahai Rasulullah. Sabda Baginda: Perbuatan syirik kepada Allah, perbuatan menderhaka kepada ibu bapa. Ketika itu, Baginda sedang bersandar, kemudian duduk tegap sambil berkata: Jauhilah bersaksi palsu dan Baginda mengulanginya beberapa kali.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Akhir kata, Ya Allah, ampunilah kedua ibu bapaku serta orang-orang yang beriman dari kalangan hambamu. Amin.











Thursday, April 29, 2010

Wan...

Selamat Bertugas Ditempat Baharu,

Buat seorang sahabat yang bernama Wan Haminuddin, yang mana sebelumnya pernah menjadi rakan setugas disalah sebuah jabatan di Sandakan. Ternyata aku kehilangan seorang lagi rakan yang sering menjadi makmum solat fardhu Zohor dan Asar. Ternyata aku bukan sahaja kehilangan sahabat tetepi juga akan kehilangan pahala solat jemaah, kerana selepas ini hampir pasti aku akan solat tanpa ada lagi makmum yang mencuit bahuku ketika solat…. MasyaAllah…

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : “sebaik-baik manusia adalah orang yang bermanfaat bagi orang lain”. (Hadith riwayat Bukhari).
Kehidupan orang muda dikalangan para sahabat Rasulullah saw, tabie, gan tabi’ tabie’ adalah teladan yang sangat dekat kepada kita umat islam sepanjang hayat dalam apa sahaja lapangan sudut kehidupan. Mereka menggunakan segala anugerah Ilahi dalam hidup mereka secara maksimum sehingga mereka berjaya meraih pelbagai kecemerlangan hidup.
Orang muda perlu bangkit dan menyedari segala keperluan yang perlu disempurnakan sebagai khalifah Allah swt dimuka bumi ini. Orang muda bangkit dengan kekuatan iman, ilmu, fizikal, emosi dan kekuatan-kekuatan lain yang diperlukan oleh masyarakat, Insya Allah jika demikian sikapnya orang muda, hidayah Allah swt tersebar keseluruh pelusok alam.

Manusia yang bermanfaat adalah insan yang kreatif, suka berdikari dan memiliki rohani yang jitu untuk cuba membantu dan menyelesaikan masalah sama ada berkait mahupun tidak berkait dengannya. Orang yang memberi manfaat kepada orang lain tidak semestinya seorang yang berpendidikan tinggi, orang kaya ataupun orang yang memegang jawatan tinggi dalam sesuatu organisasi. Orang yang bermanfaat boleh dikenali jika setiap masa dia datang memberi pertolongan tidak kira siapa dan di mana sekalipun. Pertolongan diberi lahir dari ketulusan hati tanpa harus dibentuk dan tanpa mempedulikan ganjaran mahupun balasan, sebaliknya hanya untuk mencari redha Allah swt. Selain itu, orang yang bermanfaat boleh dikatakan orang yang telah mengetahui dan memahami istilah kehidupan ini dengan sebenar-benar pengertian.

Tedapat tiga cirri-ciri yang dapat menjelaskan seseorang itu dikatakan bermanfaat kepada pergaulan juga masyaraka, iaitu :

Pertama, ketika hidupnya, dia sentiasa dicari kerana peribadinya. Maksudnya, ketika hidupnya khidmat dan sumbangannya sentiasa dicari, dan diperlukan oleh masyarakat kerana kemampuan keperibadiannya yang mulia serta memiliki keterapilan yang tersendiri dan berguna. Dalam erti kata lain, segala kurniaan Allah swt itu digunakan dengan sebaik-baiknya.

Kedua, jika dia menderita kerana menanggung sakit mahupun kesusahan lain. Ahli masyarakat akan mengambil berat atas apa yang berlaku kepadanya. Jika seseorang yang bermanfaat itu ditimpa malang, dia tidak putus-putus dikunjungi masyarakat yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dirinya setiap masa. Doa ahli masyarakat sentiasaa bersamanya.

Ketiga, apabila dia meninggal dunia. Majoriti ahli masyarakat akan merasa kehilangannya. Setiap manusia akan merasa saat kematian tetapi kita tidak tahu bila masa itu akan tiba untuk giliran kita pula. Untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Ilahi, kita perlu sentiasa berbuat baik sesama manusia dan perlu mencurah segala anugerah ilahi kejalan yang betul. Seperti kata pepatah harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Memetik kata imam as-Syafie, ujarnya : “ketika saya lahir, semua orang disekelilingnya menyambut kehadiranku kedunia ini dengan senyum bahagia. Namun, tatkala saya menutup mata untuk selama-lamanya mengadap ilahi, orang yang menjadi saudaraku bersedih hati kerana kehilangan dengan pemergian jasadku”.

Bagi menjadi orang muda yang cemerlang, gemilang, terbilang tapi bukan kaki temberang ianya memerlukan keyakinan yang bersandakan kepada iman yang utuh kepada Allah swt dan Rasulullah swt. Ilmu bermanfaat yang dtingkatkan, perubahan sikap, perihatin pada sikap positif dan disiplin diri yang tinggin serta konsisten apabila melakukan sesuatu perkara yang betul dan baik…. Selamat Maju Jaya buat : Wan Haminuddin.

Diganggu...?

SIMPTON-SIMPTON GANGGUAN MAKHLUK HALUS

Berdasarkan simpton-simpton yang dinyatakan dibawah, kebarangkalian seseorang itu mengalami gangguan adalah tinggi sekiranya, seseorang itu mengalami beberapa bilangan daripada simpton yang dinyatakan. Disamping ianya dapat menjelaskan tahap keseriusan gangguan yang dialami oleh seseorang. Gangguan tersebut boleh datang dalam pelbagai bentuk antaranya yang biasa disebut dengan pelbagai nama seperti sihir, saka, bunian, polong, hantu, langsuir dan sebagainya. Namun pada hakikatnya ianya angkara jin dan iblis. Sekiranya, simpton yang dinyatakan diatas sedang dialami oleh seseorang. Saya lebih suka menasihatkan supaya seseorang itu cuba mendapatkan rawatan moden terlebih dahulu seperti rawatan hospital. Seterusnya, menurut Ust Syarhan Syafie (Pusat Rawatan Sinar Zamdurrani) jika rawatan moden tidak dapat mengesan sesuatu penyakit yang ditanggung dan rawatan moden gagal melakukan rawatan maka seseorang itu harus berikhtiar dengan kaedah rawatan berasaskan al-Quran.

Simpton Ketika Tidur

 Mimpi bayi atau budak kecil yang disayangi ketika tidur.
 Mimpi benda kotor, jijik dan sampah sarap.
 Mimpi tersentak jatuh dari tempat tinggi.
 Terasa ada benda ‘meniduri’ ketika tidur.
 Mimpi makhluk yang menyeramkan datang mengacau.
 Mimpi lembaga berdialog perkara yang tidak baik ketika tidur.
 Terdengar suara orang datang menyergah ketika tidur.
 Mimpi benda tajam seperti jarum, pisau, miang buluh.
 Terasa ada menyentap kaki ketika tidur.
 Dihimpit sesuatu ketika tidur.
 Mimpi binatang berbisa seperti ular, kala jengking dll.
 Bunyi gigi ketika tidur.
 Mimpi menakutkan.
 Mimpi paderi, salib dan gereja.
 Mimpi tanah perkuburan.

Bagi simpton-simpton berdasarkan mimpi, seseorang wajar mengandingkan simpton tersebut degan kaedah-kaedah serta tanda-tanda mimpi yang benar seperti kesucian sebelum tidur, waktu bermimpi, bukan fikiran terlalu difikirkan sehingga ianya terbawa-bawa dan sebagainya yang wajar dirujuk pada kitab yang berkenaan.

Ketika Jaga

 Sesak nafas waktu maghrib.
 Ragu-ragu tentang iman (perasaan was-was).
 Pengsan dan sawan tanpa sebab.
 Sakit tulang belakang.
 Sakit kepala luar biasa.
 Istihadah. (haid lebih 15 hari)
 Terasa ada benda yang mengekori.
 Takut tidak bersebab.
 Sakit bahagian rusuk kiri dan kanan.
 Sakit anggota badan tertentu tanpa sebab.
 Sakit tulang empat kerat.
 Takut menziarahi jenazah.
 Sukar lelapkan mata.
 Dada sering berdebar kencang tanpa sebab.
 Terasa ada benda menolak ketika memasuki tandas.
 Ada bisikan yang menyuruh melakukan maksiat.
 Sakit bahagian perut tanpa sebab.
 Ketumbuhan ganjil pada anggota badan.
 Terasa sesuatu bergerak di tapak kaki.
 Gelisah ketika mendengar al Quran dan Azan.
 Rasa seperti hampir mati dan mudah berputus asa.
 Nampak bayang-bayang melintas.

Jika simpton tersebut terdapat pada diri anda, sewajarnya anda berusaha mencari individu beriman sebagai jalan berikhtiar.

Thursday, April 8, 2010

POKOK GHARQAD

POKOK GHARQAD
Merenung Jadual Waktu Solat pada bulan Rabiulakhir 1431H yang di cetak oleh Pasti Kawasan Sandakan, sangat menarik perhatian saya berkaitan Mutiara Kata yang memenuhi ruangan bawah takwim solat tersebut. Mutiara kata tersebut berbunyi “Belum akan tiba qaimat sehingga kaum muslimin berperang dengan orang-orang Yahudi. Kaum muslimin membunuh mereka dan mereka bersembunyi di balik batu dan pohon-pohonan. Lalu batu dan pohon-pohon berkata, “Wahai kaum muslimin, wahai hamba Allah, ini orang Yahudi di belakang saya. Mari bunuhlah dia”. Kecuali pohon ‘Gharqad’ yang tumbuh di Baitulmaqdis. Itu adalah pohon orang-orang Yahudi”. (Hadith riwayat Ahmad).
Selain itu, hadis yang sama juga telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Tirmidhi, sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:"Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah akan berlaku peperangan di antara orang Islam dan Yahudi, maka pada waktu itu (tentera) Yahudi akan dibunuh oleh (tentera) Islam, sehingga apabila orang Yahudi berselindung di sebalik batu dan pokok, lalu batu dan pokok itu akan bersuara dengan katanya: 'wahai muslim, wahai hamba Allah, di belakangku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya', kecuali Pokok Gharqad (yang tidak bersuara), kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi".
Hadis diatas sebenarnya menceritakan tentang hakikat suatu peristiwa yang bakal berlaku diakhir zaman iaitu waktu hampir kiamat. Pada waktu ini tentera Yahudi yang dipimpin oleh Dajjal akan berperang dengan orang Islam. Dalam peperangan ini, orang Islam akan dapat menewaskan orang Yahudi sehinggakan apabila mereka berselindung di sebalik mana-mana batu dan pokok untuk menyelamatkan diri, sesungguhnya dengan izin Allah pokok dan batu akan memberitahu tentera Islam tentang Yahudi yang berlindung di sebaliknya. Akan tetapi satu pohon yang tetap berdiam diri dan akan bersekongkol dengan Yahudi iaitu pohon yang bernama Gharqad.
Sekiranya anda selaku pembaca menimbangkan kemungkinan perkara tersebut berlaku hanya sekadar dengan kemampuan akal ternyata ianya tidak akan terdaya. Sebaliknya anda boleh meneliti peristiwa Rasulullah saw mendengar batu-batu bertasbih, Peristiwa Rasulullah saw meletakkan daun tamar di kubur umat yang tidak menghabiskan sisa-sisa air kecilnya bagi meringankan siksa kuburnya. Selain itu, banyak lagi peristiwa lain yang telah berlaku semasa hayat Rasulullah saw sendiri dan juga Rasul-rasul terdahulu, seperti bagaimana Allah swt memenangkan peperangan Ahzab, menyelamatkan Kaabah dari tentera Abrahah, bagaimana Allah swt memenangkan nabi Musa daripada Firaun serta nabi Ibrahim daripada Namrud. Bahkan terlalu banyak peristiwa yang telah berlaku, yang mana semuanya tunduk di bawah kekuasaan Allah swt.
Kembali kepada perbahasan berkaitan pokok Gharqad. Sejak kebelakangan ini saya telah membaca beberapa artikel yang memaklumkan bahawa orang Yahudi pada waktu ini sedang giat menanam pokok Gharqad secara berleluasa di negara Haram Israel sebagai suatu persediaan menghadapi tentera Islam pada akhir zaman. Ini juga bermakna bahawa orang Yahudi sebenarnya memang tahu dan sedar tentang kebenaran Islam dan kebenaran hadis Rasulullah saw.
Bukti bahawa orang Yahudi telah mengakui kebenaran agama Islam dapat dilihat melalui beberapa peristiwa antaranya. Peristiwa Bukhaira (seorang alim Yahudi) bertemu rombongan dagang Abu Talib di negeri Syam, rombongan yang turut disertai oleh Rasulullah saw, telah menemukan baginda dengan Bukhaira. pada pertemuan tersebut Bukhaira telah melihat tanda “Khatim an-Nubuwwah” di belakang Rasulullah saw. Peristiwa kaum Yahudi daripada Yaman yang berhijrah ke Madinah dan mendiami Khaibar kemudiannya berperang dengan penduduk tempatan iaitu Aus dan Khajraz. Setiap kali berlaku pertembungan orang Yahudi telah megugut dan menyebut-nyebut berkenaan kemunculan Rasul akhir zaman dan telah mengistiharkan bahawa mereka akan menyokong Rasul tersebut. Abdullah bin Salam telah memeluk Islam bukan kerana seruan dakwah, sebaliknya beliau beriman kepada Allah swt dan Nabi Muhammad saw kerana beliau telah mengenali Nabi Muhammad saw melalui kitab Taurat yang telah menerangkan kedatangan Rasul akhir zaman itu secara terperinci ( telitikannya secara bersama dengan surah al-Baqarah ayat 146). Demikian juga Salman al-Farisi menyatakan bahawa beliau beliau dinasihati oleh orang alim kitab Taurat supaya pergi ke Makkah untuk berjumpa dan mengikuti Rasul akhir zaman yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam kitab Taurat. Terbukti dan jelas orang Yahudi tahu kebenaran Agama Islam. Namun kerana keegoaan dan sikap bongkak mereka menyebabkan mereka tidak menerima ajaran Islam, sebaliknya terus berusaha memerangi umat Islam dari semasa ke semasa.
Apa yang menjadi tanda tanya kepada kita semua, sekiranya Yahudi laknat dan mungkar itu sanggup mentelaah dan mengkaji serta melaksanakan dengan yakin apa yang terkandung dalam hadith Rasulullah tersebut, serta sanggup pula menghabiskan berjuta-juta dolar untuk menanam pokok Gharqad tersebut. Bagaimana pula dengan umat Islam sendiri? Barapa banyak hadith yang telah dibaca, diteliti, dikaji dan mengaplikasikannya dalam kehidupan…fikir-fikirkanlah. Selain itu, ramai juga yang ingin mengetahui berkaitan bagaimanakah fizikal pokok Gharqad. Ada yang menyatakan bahawa ia pokok Krismas, dan ada pula yang menyatakan bahawa ia pokok ru, pokok kaktus dan sebagainya. Moga gambar pokok Gharqad yang dipapar dapat menjawab persoalan tersebut. Namun, yang pastinyapokok Gharqad tidak tumbuh di tempat kita.kerja penanaman sedang giat dilaksanakan

Tuesday, March 9, 2010

Kefahaman Ilmu Agama

Kedudukan ahli ilmu mengatasi kedudukan ahli ibadat, beribadat tanpa ilmu adalah sesat sebaliknya ilmu tanpa amal adalah sia-sia, bahkan tidur orang alim lebih baik daripada ibadat orang jahil. Setiap orang perlu belajar secara berguru untuk mendapatkan pelbagai jenis ilmu yang bermanfaat tanpa mengira tempatnya, sama ada jauh mahupun dekat dalam tempoh waktnya yang tiada hadnya.
Ada yang belajar ilmu agama Islam di sekolah pondok, menadah kitab bertalaqi dengan Tok Guru dari seusia muda sehingga tumbuh uban dikepala, sekian waktu lamanya agar menjadi orang alim. Ada yang menyambung pelajaran hingga ke universiti di dalam mahupun ke luar negara untuk mendalami ilmu agama. Harapan yang digantungkan untuk mempelajari ilmu agama agar lahir sebagai orang alim, orang yang menguasai ilmu-ilmu Islam dan sememangnya sangat beruntung apabila menjadi orang yang berilmu.

Terdapat ramai sekali orang yang alim tetapi tak kurang juga ramainya orang yang disangka alim tetapi alimnya bukan dalam erti kata yang sebenarnya. Cuma sebahagiannya sahaja seperti kerana tempat belajarnya, jurusanya, tutur katanya, pakaiannya yang menonjolkan ciri-ciri orang alim. Apa yang ingin di jelaskan disini walaupun seseorang itu dianggap sebagai alim. Namun, belum tentu mereka diberi faham tentang ilmu yang dimilikinya.

Oleh itu, paling beruntung adalah orang alim yang diberi kefahaman ilmu. Menjadi orang yang faham dalam agama tidak mudah. Sekalipun telah menghafal 30 juzuk Al-Quran, menghafal matan-matan beberapa kitab, berkemampuan membaca kitab-kitab tertentu, kebolehan mengajar khalayak pun bukan bermakna seseorang itu faham dalam agama.

Itulah yang didoakan nabi Muhammad SAW buat sahabat yang terkenal dengan kehebatan tafsirnya terhadap isi kandungan Al-Quran, Abdullah bin Abbas:


اللهم فقه في الدين وعلمه التأويل
"Ya Allah, Fahamkan dia dalam agama dan ajarkanlah dia ta'wil!"

Kefahaman Abdullah bin Abbas terhadap agama dan kemampuannya menta'wil terserlah dalam sebuah riwayat Imam Bukhari dalam Sahehnya mengenai tafsir surah An-Nasr.

Tindakan Syaidina Umar Al-Khattab memasukkan Abdullah bin Abbas dalam majlis mesyuarat telah dipersoalkan oleh ahli-ahli vetren Badar kerana pada waktu itu beliau masih muda remaja. Menangani kritikan para sahabat itu, Umar Al-Khtaab memanggil mereka dan berkata: "Pada hari ini aku mahu tunjukkan kepada kamu semua satu perkara yang kamu akan akui sebagai kelebihannya", Lalu Umar Al-Khattab meyuruh mereka menjelaskan maksud surah An-Nasr:


إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ
Apabila datang pertolongan Allah
Maka, mereka menjelaskan bahawa surah tersebut adalah Allah menyuruh nabinya agar memuji Allah dan memohon ampun daripadaNya ketika melihat manusia memeluk Islam berduyun-duyun. Lalu, Umar Al-Khattab bertanya kepada Ibn Abbas tentang maksud ayat tersebut, lalu Ibn Abbas berkata:

"Allah memberitahu nabiNya bila dia akan wafat",
Demikianlah tajamnya fikiran Ibn Abbas di atas segala sahabat yang terlebih dahulu memeluk Islam dan lebih awal mendengar Al-Quran. Itulah seorang yang diberi faham dalam agama dan dilimpahkan kurnia kemampuan menta'wil.
Menjadi faham dalam agama membuat seseorang itu dapat meneliti isu sebenar di sebalik isu-isu tempelan. Lalu dia dapat mengulas penyelesaian terhadap sesuatu yang menjadi inti persoalan dan tidak disibukkan dengan persoalan tumpangan. Seorang yang diberi faham dalam agama, akan mengemukakan buah akal fikiran yang berbeza daripada pandangan umum. Oleh itu, seringkali juga seorang yang diberi faham dalam agama menghadapi tentangan daripada sebilangan orang alim.
Orang yang diberi faham agama sentiasa menjadikan dalil sebagai makanannya dalam berhujjah.
Orang yang diberi faham dalam agama, bila berhujjah, tidaklah akan berkata:'guruku telah berkata...kitab sekian menyebutkan...", lalu disenaraikan puluhan kitab rujukan karangan ulama muktabar. Orang yang diberi faham dalam agama menampilkan agama dalam neraca yang menjadikan orang rasa mudah untuk mengamalkannya. Orang yang diberi faham dalam agama, menyuluh jalan beragama untuk orang lain ke satu jalan yang jelas, meyakinkan dan jauh daripada keraguan ahli bid'ah dan orang berkepentingan. Orang yang diberi faham dalam agama, terserlah dalam pendekatannya yang jauh daripada emosi dan hamasah.

اللهم فقهنا في الدين
Sekian.

Wednesday, February 24, 2010

Akibat meninggalkan solat

Wahai saudaraku sekalian,

Terdengar oleh telinga kita akan mendayunya suara azan yang dilaungkan muazzin sebanyak lima kali sehari, 35 kali seminggu, 150 kali sebulan, 1825 kali setahun, ataupun sudah berapa banyak jika dibandingkan dengan seusia kita sekarang. Tetapi sejauhman kita akur dengan seruan tersebut…hanya diri sendiri yang dapat menjawab dengan tepat.
Oleh itu, sempena dengan sambutan Maulidul Rasul kali ini, cuba-cubalah kita renungkan akan perkara tersebut kerana isu solat ini, sangat besar baki kita umat islam. Seterusnya saya paparkan diruangan ini akan akibat bagi sesiapa yang mengabaikan solat.

15 JENIS AZAB BAGI ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT

6 AZAB DI DUNIA
1. Dihilangkan keberkatan umurnya
2. Terhapus tanda-tanda orang soleh dari wajahnya
3. Segala amalannya tidak dikurniakan pahala
4. Doanya tidak dimakbulkan oleh Allah
5. Tiada doa daripada para solehin untuknya
6. Keluar roh daripada jasadnya tanpa iman

3 AZAB KETIKA HAMPIR MATI
1. Kematiannya penuh kehinaan
2. Kematiannya di dalam kelaparan yang amat hebat
3. Kematiannya di dalam kehausan yang amat dahsyat

3 AZAB KETIKA DI DALAM KUBUR
1 Kubur menghimpitnya sehingga berselisih tulang rusuknya
2. Dinyalakan api di dalam kuburnya, lalu dia dibalik-balikkan di atas api tersebut
3. Datanglah seekor ular bernama Syujja’ul Aqra’, suaranya laksana petir, ia berkata “Hai manusia!Sesungguhnya aku diperintahkan menyiksa kamu dari Zohor hingga Asar kerana kamu meninggalkan fardhu Zohor, dari Asar hingga Maghrib kerana kamu meninggalkan fardhu Asar”, begitulah seterusnya dan azab ini berkekalan sehingga hari Qiamat.

3 AZAB KETIKA BERTEMU ALLAH S.W.T

1. Datanglah Malaikat dengan rantai sepanjang 70 hasta lalu membelenggu lehernya dan disumbat ke dalam mulutnya kemudian disentap keluar rantai itu melalui duburnya, lalu diseret ke Neraka Saqar.
2. Tiada rahmat Allah dan tiada keampunan untuknya
3. Baginya azab yang amat pedih

Nauzubillahiminzalik….

Tuesday, January 12, 2010

Qada Puasa

Qadha Puasa

Di ruang ini saya akan menumpukan perbincangan berkaitan mengqada puasa bagi orang yang telah meninggal dunia.

Firman Allah swt di dalam surah al-Baqarah ayat 184-185 yang bermaksud :

184. (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

185. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Berdasarkan ayat diatas dapat dirumuskan bahawa terdapat empat golongan yang diberikan kelonggaran untuk meninggalkan puasa iaitu:

1. Wanita yang sedang hamil atau menyusui anak

2. Orang yang sakit

3. Orang yang bermusafir

4. Orang yang tidak berupaya untuk berpuasa

Wanita yang hamil ataupun sedang menyusukan anak tetapi bimbang akan terganggu aturan kehidupannya, dibolehkan membuka puasa namun, apabila telah bersalin ataupun telah tamat tempoh penyusuan (anak berhenti menyusu) hendaklah digantikan puasa yang ditinggalkan pada hari yang lain, selepas bulan ramadhan sehingga sebelum tiba bulan ramadhan yang berikutnya.

Wanita yang berpuasa tetapi bimbang dengan kesihatan anak yang dikandung ataupun bimbang kekurangan susunya maka dibolehkan membukakan puasa dengan syarat digantikan puasa itu pada hari lain serta ditambah dengan membayar fidyah. Keadaan ini berbeza kerana mereka termasuk kedalam golongan orang yang mampu berpuasa. Sebagaiman maksud firman Allah swt di dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud: dan wajiblah orang-orang yang berat menjalankan (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah (iaitu) memberi makan seorang miskin.

Orang yang sakit tidak boleh berpuasa, tetapi harus mengantikanya apabila sembuh. Allah swt berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: dan barang siapa sakit atau di dalam perjalanan (lalu ia berbuka) maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Sakit yang tidak boleh berpuasa mestilah dari jenis sakit yang mengakibatkan si sakit hilang keupayaan untuk berpuasa. Sakit yang ringan pula diharuskan berpuasa tetapi bertambah berat pada siang harinya maka diharuskan berbuka.

Bagi orang yang bermusafir pula, syarat diharuskan berbuka bagi perjalanan yang bukan bertujuan maksiat menurut syarak, bukannya menurut kemahuan sendiri. Walaubagaimanapun jika pada waktu pagi sebelum bermusafir, si musafir itu masih ada di rumah, maka tidak harus bagi si musafir itu untuk berbuka kerana ibadat yang menggunakan waktu mukim mewajarkannya berbuka jika musafir itu keluar daripada rumahnya sebelum fajar. Menurut Imam Ahmad dan Imam Shaafie bahawa musafir yang diharuskan berbuka puasa itu adalah di dalam perjalanan dua hari dua malan ataupun empat puloh lapan batu.

Orang yang terlalu tua (tua bangka) atau mempunyai penyakit yang tidak mungkin sembuh boleh berbuka puasa dengan mengantikan dengan membayar fidyah setiap hari yang ditingalkan 1 mud / 576 gram beras (makanan asasi) dan diberikan kepada fakir miskin, namun bagi orang yang tidak mampu untuk mengeluarkan fidyah maka hukum tersebut tidak terletak dibahunya.

Mengqadhakan Puasa Orang lain

Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana keuzuran, tetapi belum sempat diqadhakan puasa tersebut ia telah meninggal dunia, maka terdapat dua kaedah hukum untuknya;

1.Belum lagi memenuhi kewajipan puasa yang ditinggalkan olehnya kerana belum mampu untuk berpuasa, mungkin disebabkan penyakit yang ditanggung belum sembuh ataupun masih dalam misi bermusafir, dalam waktu tersebut seseorang itu telah meninggal dunia. Maka tidak berkewajipan untuk wali / waris menggantikan puasanya, tidak membayar fidyah dan tidak berdosa.

Orang yang sakit sepanjang waktu pula, tidak boleh diharapkan untuk sembuh walaupun belum meninggal dunia, maka cukuplah dengan membayar fidyah kepada fakir miskin setiap hari 1 mud.

2.Sebaliknya, jika orang yang meninggal dunia tersebut, pernah sihat selepas 2 syawal tetapi dia tidak mengqadhakan puasanya sehingga sampai waktu kematiannya, maka terdapat 2 pendapat berkaitan perkara tersebut iaitu;

i. Dikeluarkan kepada fakir daripada hartanya berdasarkan jumlah hari puasa yang ditinggalkan itu sebagai fidyah sebanyak 1 mud. Pendapat ini dianggap lemah kerana harta yang ditinggalkan itu adalah hak warisnya, terutama jika si mati mewariskan anak-anak yang masih belum balig.

ii.Walinya harus menggantikan dengan puasa, iaitu harus diqadhakan oleh ahli keluarganya yang terdekat. Dari Aisyah, telah bersabda Rasulullah saw, mafhumnya: “Barang siapa yang mati dengan meninggalkan kewajipan (qadha) puasa, hendaklah walinya berpuasa untuk menggantikannya”. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Namun, pada pendapat lain bahawa puasa yang boleh dikerjakan oleh orang lain itu hanyalah puasa nazar. Berdasarkan alasan dengan hadis di bawah ini. Dari Ibnu Abas, sesungguhnya seorang perempuan telah bertanya kepada Rasulullah saw, katanya: “Ibu saya telah meningal dunia dan ia ada ketinggalan puasa nazar yang belum dikerjakan, apakah saya boleh puasa menggantikannya?” jawab Rasulullah saw: “bagaimana pendapatmu kalau Ibumu itu mempunyai hutang kemudian engkau mmebayar hutangnya itu, adakah terbayar hutang Ibumu itu?”. Jawab perempuan itu: tentu terbayar”. Rasulullah saw berkata “Berpuasalah engkau untuk menggantikan puasa ibumu” Riwayat Muslim.

Semoga apa yang dinukilkan ini member sedikit pedoman buat pembaca, dan bertanyalah kepada orang yang alim sekiranya belum betul-betul memahami.