Monday, October 12, 2009

Erti Kekerasan Dalam Islam

Erti Kekerasan Dalam Islam
Kebelakangan ini organisasi Islam di serata dunia tidak bersatu padu. Perpecahan organisasi Islam disebabkan oleh perbezaan ideologi, perjuangan dan akibat terlalu taksub dengan pemimpin kelompok sendiri. Di beberapa negara, perpecahan umat Islam telah mengakibatkan banyak kerosakan lain. Namun, apakah tidak ada usaha perdamaian yang boleh memperkuatkan kembali umat Islam? Apakah tidak ada perdamaian sejati atau masing-masing terasa ada trauma untuk berjabat tangan. Selagi umat Islam berpecah, selagi itulah umat Islam terus menjadi umat yang rugi dan dipandang rendah.
Semua umat Islam tahu dan sedar, doktrin Islam yang utama adalah memberi penekanan terhadap ajaran perdamaian. Kata Islam sendiri bermakna damai, aman, selamat dan penyerahan diri. Dalam amalan solat, yang merupakan kewajiban utama setiap umat Islam, ikrar terakhir yang diucapkan adalah memberikan keselamatan dan kedamaian bagi sesama umat manusia. Sebuah simbol bahawa muara akhir dan ajaran ini adalah perdamaian. Tetapi dalam sejarahnya, konsep di atas tidak seiring dengan perjalanan umat Islam. Pada awal-awal lahirnya Islam, tidak kurang dari enam kali berlaku peperangan diikuti dengan tujuan untuk menegakkan keadilan ekonomi, kesejahteraan manusia dan bertahan dari serangan musuh-musuh Islam. Hal ini terkandung dalam al-Quran Surah 4:75: “Mengapa kamu tidak berperang di jalan Allah dan membela orang-orang yang lemah, baik laki-laki, perempuan dan anak-anak yang semuanya berdoa: Ya Tuhan Kami, keluarkanlah kami dan negeri ini (Mekah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dan pertolongan dari Mu!” Juga terdapat dalam ayat: “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas” Demikian pula pada masa Abu Bakar ra, Umar bin Khattab ra, Usman Bin Affan ra, dan Ali bin Abi Thalib ra. Peperangan yang dilakukan oleh mereka umumnya bermotifkan ekonomi, seperti menumpaskan kumpulan pembangkang yang enggan membayar zakat pada Abu Bakar ra dan perebutan kekuasaan seperti yang berlaku ketika pemerintahan Uthman ra dan Ali ra.
Terdapat juga dalam sejarah, sepeninggalan Nabi Muhammad saw, tidak kurang dari 70,000 orang Islam mati terbunuh dalam medan peperangan. Bahkan dua khalifah yang terakhir, yakni Uthman dan Ali turut terbunuh dalam suatu peristiwa peperangan.

Ahmad Amin menyebut peperangan besar dalam sejarah umat Islam ini sebagai fitnah kehidupan yang paling besar (al-fitnah al-Kubra). Berbagai bencana menimpa umat Islam sepanjang pemerintahan Kerajaan Umayyah dan Abbasiyah. Kekerasan pada masa ini tidak hanya dalam bentuk fizik, tetapi juga kekerasan intelektual.
Kekerasan intelektual berlaku dengan menyingkir atau membunuh beberapa ahli pemikir yang dianggap tidak menyokong pemerintah, seperti yang terjadi pada Ghaylan al-Dimasyqi dan AI-Jaid bin Dirham. Juga berlaku kekejaman dalam aspek politik yang lebih mengerikan. Pada masa Kerajaan Umayyah berkuasa, tepatnya dimasa Yazid bin Muawiyah, kepala Husain bin Alira dipenggal dan tubuhnya dan kepala tersebut dibawa ke istana untuk dipermainkan. Seorang tua yang tahu masa kecil Husain dengan gusar berkata: “Saya pernah melihat wajah itu diciumi oleh Rasulullah” Peristiwa ini disebut sebagai “tragedi Karbala” sebuah momentum perpecahan antara kelompok Islam Sunni dan Syiah pada tahun 64 Hijriah. Begitu juga semasa pemerintahan Kerajaan Abbasiyah. Akbar S Ahmed menggambarkan perebutan kuasa terhadap kerajaan Umayyah sebagai berikut: Sekali waktu Abdullah, seorang Jenderal Abbasiyah memanggil 8 orang pemimpin Umayyah untuk makan malam pada musim panas bulan Jun tahun 750 M di rumahnya yang terletak di Jaffa, Ketika para tamu sedang makan, mereka ditangkap oleh para tentera. Semua pimpinan Umayyah itu kemudiannya dibunuh.- (Discovering of Islam). Menjelang keruntuhan kekuasaan Umayyah di Sepanyol dan Abbasiyah yang terbentang dan wilayah Afrika dan seluruh jazirah Arab, tentera Kristian dan Eropah Barat menyerang dua dinasti Islam tersebut. Dengan misi perang untuk menakluk umat Islam dengan memberi dua pilihaƱ: meninggalkan agama Islam atau keluar dan wilayah kekuasaannya (migrasi). Perang itu kemudian diikuti oleh siri perang disebut perang salib, peperangan yang memakan masa tidak kurang dari seratus tahun.
Pada awal abad 20-an, beberapa wilayah yang majoriti penduduknya umat Islam mula diserang oleh negara-negara kolonial dan Eropah. Misalnya, Indonesia oleh Belanda; Mesir, Maroko, Aljazair oleh Perancis. Malaysia, Nigeria oleh Inggeris dan Libya oleh penjajah ltali. Sejak dijajah, sejarah kegemilangan umat Islam semakin lama semakin gelap dan terbenam ke bawah dasar permukaan, bagai sebuah cerita yang ditutup secara tiba-tiba oleh penjajah.

Begitu juga dengan sikap Amerika terhadap wilayah-wilayah muslim, seperti Afganistan, setelah tragedi pengeboman bangunan WTC 11 September lalu, mengusik kembali emosi sebahagian umat Islam akan peristiwa pahit yang dipaparkan di atas. Akibat dan perasaan sakit hati umat Islam yang dijajah dan ditindas sekian lama, sebahagian umat Islam mencari identiti berlandaskan agama, bangsa dan negara dengan mengungkap kembali nilai-nilai keagamaan.

No comments:

Post a Comment