Tuesday, May 11, 2010

Selamat Hai Ibu

Selamat Hari Ibu

Pada 09 Mei 2010 bersamaan 24 Jamadilawal 1431H masyarakat diseluruh dunia telah mengadakan sambutan Ibu, kemeriahan acara sambutan tersebut diadakan dengan pelbagai cara keraian, ada yang mengadakan sembutan di rumah, kedai makan, hingga ke hotel bahkan juga melancong keluar negara. Walaupun begitu, tidak kurang juga sambutan hari ibu berkelangsungan dengan sebuah kenangan, kehibaan serta keinsafan, semua itu adalah kerana besarnya jasa seorang yang bergelar ibu.

Namun, cara sambutan hari ibu yang telah paparkan oleh media tempatan yang tertentu adalah agak terhad dan tidak menyeluruh. Hal ini demikian, kerana sambutan hari ibu yang dipaparkan oleh media adalah saduran sambutan hari ibu dari barat dan dipelopori serta dipopularkan juga oleh media barat seterusnya disuap kepada masyarakat kita dalam bentuk yang agak bercelaru dan tersasar dari nilai fitrah. Pembaca boleh menilai sendiri, di mana media yang memaparkan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu di alam baqa, sebaliknya fokus media lebih tertumpu kepada kewujudan ibu di alam fana ini sahaja. Sedangkan, Islam tidak membataskan hubungan dan sumbangan anak terhadap seorang ibu yang mana semasa hayat mereka di dunia ini sahaja.

Islam mendidik umatnya supaya tumpahkan segala ketaatan kepada ibu bapa dalam perkara yang tidak bertentangan dengan perintah Allah swt disepanjang hayat mereka dan seterusnya terus melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak walaupun selepas mereka menyambut panggilan ilahi. Perihal menghormati dan mentaati ibu bapa telah diberi penekanan oleh Islam semenjak lebih 1400 tahun dahulu. Itu dari sudut agama, dari sudut bangsa pula, masyarakat di Nusantara juga telah terbukti sangat menghormati ibu bapa berbanding masyarakat Barat, yang mana masyarakat Nusantara tidak memanggil ibu bapa mereka dengan sebutan nama sebaliknya dengan ungkapan-ungkapan terhormat tertentu, sebaliknya masyarakat Barat pada kebiasaannya memanggi ibu bapa mereka dengan sebutan nama sahaja. Seterusnya bagaimana pula dengan penghuni rumah-rumah orang tua di barat..?. Apa yang ingin dirumuskan bahawa, sewajarnya kita perlu ada kaedah dan modul tersendiri bagi menghargai jasa dan sumbangan Ibu bapa bukannya membuat saduran dari barat semata-mata.

Seterusnya apa yang dapat saya kongsi bersama dengan pembaca dalam ruangan yang terhad ini antaranya ialah, firman Allah swt didalam surah al-Israa ayat 23/24/25. Mafhumnya: dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.

Firman Allah swt didalam surah an-Nisa ayat 36. Mafhumnya: dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;

Firman Allah swt didalam surah Luqman ayat 14. Mafhumnya: dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Selain itu, diriwayatkan bahawa seorang sahabat daripada kaum Ansar pernah bertanya Nabi Muhammad saw, katanya: “Ya, Rasulullah! adakah masih ada tanggungjawab yang wajib saya lakukan selepas ibu bapa saya meninggal dunia? Jawab Baginda: Ada, iaitu berdoa, beristighfar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambung silaturahim yang tidak sempat dijalinkan kedua-duanya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). Berdasarkan dalil daripada al-Quran dan Hadis tersebut jelas bahawa, kewajipan anak terhadap Ibu bapa tidak hanya ketika mereka masih hidup. Bahkan, kewajipan itu tetap berterusan walaupun ibu bapa telah meninggal dunia.

Kewajipan utama seseorang anak selepas Ibu bapa meninggal dunia, iaitu berdoa dan memohon ke hadrat Ilahi supaya diberikan keampunan kepada Ibu bapanya serta nasab keturunannya yang beragama Islam dan menempatkan mereka dalam kalangan orang soleh. Bacaan doa yang dianjurkan dalam al-Quran adalah firman Allah yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil” (Surah al-Isra’, ayat 24).

"Wahai Tuhanku! ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa Yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam Segala zaman); dan janganlah engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!" (Surah Nuh, ayat 28)

"Wahai Tuhan kami! berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang Yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan" (Surah Ibrahim, ayat 41)

Namun demikian, umat Islam tidak boleh mendoakan keampunan bagi ibubapa dan sesiapa sahaja yang belum memeluk Islam ataupun mati dalam kekafiran. Perkara tersebut berdasarkan Firman Allah swt di dalam surah at-Taubah ayat 113-114. Mafhumnya: tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka. dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.

Seterusnya, tanggungjawab lain bagi setiap anak terhadap ibu bapa yang telah meninggal dunia adalah menyambung kembali jalinan ukhuwah kepada mana-mana orang yang tidak sempat dilakukan ibu bapa sebelum mereka meninggal dunia. Justeru, melaksanakan kewajipan kepada ibu bapa adalah ketaatan paling dituntut dalam Islam selepas ketaatan kepada Allah swt. Alangkah bahagia, seorang anak yang sempat berbuat baik dan taat kepada ibu bapa ketika hayat mereka, malah ia sentiasa diteruskan walaupun kedua-duanya sudah meninggal dunia. Tetapi, alangkah rugi seorang anak yang tidak menabur budi dan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Alangkah ruginya, alangkah ruginya, alangkah ruginya! Baginda ditanya: Siapakah dia yang rugi itu wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Mana-mana anak yang sempat dengan hayat kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang daripada kedua-duanya, (tetapi tidak berbuat baik dan menderhaka kepada kedua-duanya) lalu anak itu tidak dapat masuk syurga.” (Hadis riwayat Muslim dan at-Tirmizi).

Sesungguhnya, menderhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar yang dilarang Islam seperti difahami melalui sabda Rasulullah yang bermaksud: “Mahukah aku beritahu kepada kamu sekalian perbuatan dosa yang paling besar? Mereka menjawab: Ya, wahai Rasulullah. Sabda Baginda: Perbuatan syirik kepada Allah, perbuatan menderhaka kepada ibu bapa. Ketika itu, Baginda sedang bersandar, kemudian duduk tegap sambil berkata: Jauhilah bersaksi palsu dan Baginda mengulanginya beberapa kali.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Akhir kata, Ya Allah, ampunilah kedua ibu bapaku serta orang-orang yang beriman dari kalangan hambamu. Amin.











No comments:

Post a Comment