Thursday, September 2, 2010

Fadhilat Selawat

Fadhilat Selawat

Ramadhan semakin kepenghujung, bererti hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam berpeluang melakukan solat sunat terawikh, Solat sunat terawikh hanya khusus dilakukan pada malam bulan Ramadhan tetapi tidak pada bulan-bulan lain. Itulah juga antara kamuliaan yang Allah swt kurniakan pada bulan Ramadhan al-Mubarak. Semasa bersolat terawikh, umat Islam berselawat sakan, mungkin antara selawat yang lebih banyak disebut berbanding dengan bulan-bulan Islam yang lain, itu pun bagi umat yang menunaikan solat sunat terawikh di masjid yang berterawikh di rumah ataupun yang belum berterawikh, bagaimanalah pula?.

Kepada umat Islam, berselawat adalah amalan yang selalu membasahi bibir mulut, kerana ganjaran yang Allah s.w.t kurniakan kepada insan yang mengamalkan selawat adalah sangat besar. Namun, apakah kurniakan itu?. Di bawah telah saya senaraikan beberapa fadhilat selawat untuk renungan bersama, semoga hari-hari akhir Ramadhan ini masih sempat untuk kita mencari peluang melakukan ibadah yang masih tersisa. Antaranya:

1. Sesiapa yang mengamalkan membaca selawat 3 kali setiap selepas solat 5 waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.

2. Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana Allah s.w.t akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain.

3. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

4. Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaan-Nya.

5. Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadapi kesukaran hidup.

6. Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah s.w.t akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.

7. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insya Allah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

8. Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin Allah s.w.t dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain.

9. Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau sekali pada malam Jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi.

10. Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali sehari, insyaAllah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada lelaki @ wanita.

11. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali pada air dan minum. InsyaAllah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.

12. Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.

13. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, insyaAllah akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.

14. Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah s.w.t akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.

15. Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmat-Nya.

16. Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah s.w.t akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.

17. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah s.w.t akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.

18. Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.

19. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, InsyaAllah akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki dan sebagainya dalam dirinya.

20. Sesiapa yang amalkan berselawat 1000 kali pada malam Jumaat, insyaAllah akan beroleh kebahagiaan sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

21. Sabda Rasullah SAW: Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah s.w.t akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda – (Hadis Riwayat Muslim).

22. Allah s.w.t akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardu. Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah s.w.t akan hajatnya.

23. Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.

24. Para Ulamak berpendapat, Allah s.w.t akan sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.

25. Sabda Nabi s.a.w : Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya – Hadis Riwayat Abu Naim.

26. Sabda Nabi s.a.w : Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang setiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat – Hadis Riwayat Thabrani

27. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah s.w.t.

28. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda s.a.w.

29. Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, insyaAllah dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.

Terdapat pelbagai jenis selawat rasul seperti selawat syifa, selawat tafrijiyyah, selawat nariyah dan sebagainya. Oleh itu , untuk mendalami selawat dan jenis-jenis selawat tersebut, rujuklah kepada mereka yang arif, jangan hanya bergantung kepada buku semata-mata.

Betapa Allah s.w.t anugerahkan kepada umat Nabi bongsu Rasulullah s.a.w akan fadhilat yang sangat-sangat besar apabila kita melafazkan kalimah-kalimah selawat. Oleh itu, sementara Ramadhan yang masih tersisa ini, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan ibadah selawat yang kita lakukan ini dikurniakan ganjaran daripada Allah s.w.t. walloh hu a’lam.

No comments:

Post a Comment