Tuesday, August 3, 2010

Terapi al-Quran


Bergambar bersama En Mohd Naim Niamat penerbit rancangan misteri di salah sebuah tv swasta.


Bergambar bersama ustaz Syarhan Syafie di Sandakan, Beliau merupakan seorang pengamal rawatan berasaskan al-Quran, dan beliau telah beberapa kali datang membimbing saudaranya di Sandakan dan Kinabatangan berkaitan rawatan berasaskan al-Quran.



Terapi al-Quran

Kaedah rawatan yang menegahkan kaedah doa yang bersumberkan daipada ayat-ayat suci al-Quran sebagai kaedah rawatan alternative bukanlah mudah untuk diaplikasikan dialaf baru ini, walaupun kaedah tersebut telah sekian lama diamalkan dari zaman berzaman. Namun, masyarakat kini belum terdedah secara khusus berkaitan falsafah serta hakikat kaedah rawatan yang bersumberkan doa-doa tertentu sehingga menyebabkan kaedah rawatan seperti ini sering dianggap sebagai kaedah rawatan tempelan, tradisional, tak releven dengan peredaran zaman, bahkan ada yang beranggapan kaedah tersebut sejajar dengan amalan bidaah, karut marut, serta pemujaan.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila terdapat pengamal rawatan alternative yang mendampingkan diri mereka dengan pelbagai jenis makhluk halus, jampi mentera, serapah serta diselitkan dengan ungkapan-ungkapan yang diserapkan dengan unsur-unsur Islam seperti salam, basmalah, nama-nama nabi juga malaikat dan sebagainya.

Apabila unsur tersebut masih melingkari persekitaran masyarakat, ia menyebabkan usaha untuk menembusi kembali minda masyarakat supaya kembali menerima kaedah doa sebagai suatu kaedah rawatan alternative lebih berhadapan dengan kemelut rumpun persekitaran masyarakat. Masyarakat yang pernah terjajah fizikal dan minda lebih 400 tahun serta terasuh dengan kehidupan moden lebih suka mempersoalkan mungkinkah sesuatu penyakit boleh dirawat dengan hanya menggunakan doa dan mungkinkah sakit manusia boleh sembuh dengan menggunakan air sahaja. Harus disedari air yang diminum itu pernah menjadi kegunaan oleh nabi Ayub, menghanyutkan ikan nabi Khaidir, melancarkan bahtera nabi Nuh, melepaskan nabi Yunus dari perut ikan, menemukan nabi Sulaiman dengan seorang ahli ibadah dari dasar laut, menjadi hujan, menjadi sunami, menjadi gelora, menenggelamkan Firaun bahkan pelbagai lagi.

Anggapan sebegitu rupa muncul daripada masyarakat yang enggan memahami atau tidak menerima konsep doa dan rawatan yang bersumberkan kepada ayat-ayat suci al-Quran serta al-Hadith berdasarkan bimbingan yang pernah diaplikasikan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Keadaan ini lebih bercelaru apabila wujud golongan yang terdidik dengan didikan agama cuba menafikan logik penggunaan doa sebagai salah satu cara untuk mengatasi masalah manusia.

Punca sebenar keengganan mereka yang tidak mempelajari agama untuk menerima doa sebagai salah satu kaedah rawatan adalah jelas, iaitu kerana mereka tidak memehami konsep doa menurut syariah Islamiah. Walaupun demikian, masyarakat sedar penyakit bukan semata-mata berpunca daripada gangguan fizikal, tetapi juga berpunca daripada gangguan mental, yang berkaitan dengan hati ataupun roh yang lebih sesuai dirawat menggunakan ayat-ayat al-Quran,al- Hadith, doa-doa dan sebagainya.

Menurut Ibnu al-Qayyim jenis-jenis rawatan merangkumi, rawatan penyakit rohani dan jasmani. Penyakit rohani melibatkan dua jenis iaitu perasaan cemas dan ragu serta nafsu yang tidak terkendali. Rawatan penyakit tersebut mustahil dapat dilakukan tanpa petunjuk Rasulullah s.a.w dan ketenangan rohani hanya dapat diperolihi dengan mengenal Allah s.w.t yang mencipta sekalian alam. Bagi penyakit jasmani, rawatan penyakit dilakukan dengan salah satu daripada tiga kaedah iaitu memelihara kesihatan, memperkuatkan ketahanan badan bagi menghadapi serangan penyakit dan merawat penyakit yang telah menimpa seseorang.

Namun demikian, sebagai umat Islam, kita tidak boleh menerima rawatan yang menggunakan kaedah-kaedah tertentu seperti tukang tilik, tukang nujum, tangkal, sihir serta ubat guna-guna.

Oleh itu, sebagai umat Islam, sewajarnya kita tidak meminggirkan penggunakan doa dalam kaedah kita merawat sesuatu penyakit disamping menerima kaedah rawatan moden. Para ulama sepakat bahawa, al-Quran boleh menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani manusia dengan izin daripada Allah s.w.t. Antara alasan mereka kemukakan ialah al-Quran bukan sahaja kitab hidayah, bahkan juga kitab yang boleh merawat penyakit manusia dengan syarat proses rawatan itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas, kosong hati dari syirik dan tidak melibatkan unsur-unsur yang haram.

Menurut imam Nawawi, merawat dengan bersumber kepada ayat-ayat suci al-Quran tidak sesuai bagi orang tidak tahu menahu berkaitan al-Quran seperti kaedah tatabahasa Arab, tajwid, fasahah dan sebagainya yang boleh menyebabkan kesucian al-Quran tercemar apabila seseorang perawat itu jahil berkaitan al-Quran.

Sebaliknya seseorang yang memperlengkapkan diri dengan ilmu agama yang mantap, mempunyai aqidah yang kuat, tahu sedikit sebanyak berkaitan tatabahasa Arab yang betul, dengan itu barulah al-Quran benar-benar menjadi penawar kepada penyakit rohani dan jasmani manusia.

Dalam melakukan rawatan, Rasulullah s.a.w memerintahkan umatnya mengambil rawatan apabila mereka menghadapi satu-satu penyakit dan tidak bolah membiarkan diri mereka binasa kerana sesuatu penyakit sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Setiap penyakit itu ada ubatnya, apabila ubat itu berjaya mengalahkan penyakit, berlakulah kesembuhan dengan izin Allah s.w.t”. Menurut ibnu al-Qayyim al-Jaeziyyah, penegasan nabi s.a.w. “Setiap penyakit ada ubatnya” merupakan daya pendorong yang kuat kepada pesakit mahupun bagi para doktor, untuk terus berusaha mencari ubat kepada sesuatu penyakit.

Selain dari itu, Rasulullah s.a.w menggalakkan seseorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang rawatan, supaya bukan sahaja merawat diri sendiri, malahan juga merawat orang lain yang terkena panyakit. Rasulullah pernah bersabda bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh seorang Arab Dusun berkaitan keperluan mengambil rawatan yang bermaksud: “Ya, wahai hamba-hamba Allah s.w.t berubatlah anda sekalian, sesungguhnya Allah s.w.t tidak meletakkan penyakit kecuali turut meletakkan penawar atau ubatnya, kecuali satu jenis penyakit sahaja. Para sahabat bertanya: Apakah penyakit itu wahai Rasulullah s.a.w? Jawab baginda: Penyakit tua.

Jelas bahawa, nyawa merupakan suatu yang penting kepada manusia, kerana itu, jika terdedah kepada bahaya penyakit, rawatan yang sewajarnya perlu dilakukan segera sama ada menggunakan kaedah rawatan moden yang canggih dibantu oleh doktor-doktor yang pakar dalam bidang masing-masing serta kaedah terapi al-Quran, al-Hadith dan doa. InsyaAllah, kesembuhan itu hanya tertentu dibawah kekuasan Allah semata-mata. Manusia ditugaskan berusaha dan beriktiar sebelum bertawakal. Dan takabbur itu akan membinasakan.

No comments:

Post a Comment