Monday, November 30, 2009

Aiduladha

AIDULADHA

Hari Raya Aiduladha bukan sekadar simbol syiar dan syariat Islam yang menjadi salah satu daripada lima rukun Islam iaitu menyempurkan ibadat haji bagi umat Islam yang berkemampuan. Mampu dari pelbagai sudut seperti harta benda, fizikal, mental, persediaan ilmu ibadah haji itu sendiri dan sebagainya.

Sambutan dua jenis perayaan Islam iaitu perayaan Aidiladha yang berkait dengan pengorbanan Nabi Ibrahim as serta ritual ibadat haji dengan ganjaran haji mabrur. Perayaan Aidilfitri pula sebagai lambang kejayaan menyempurnakan ibadah puasa Ramadhan selama sebulan dengan ganjaran lailatul-qadr. Secara tersirat, perayaan ini didasarkan kepada dua rukun Islam iaitu berpuasa dibulan Ramadhan dan menunaikan ibadah haji bagi yang mampu. Oleh demikian, dua perayaan umat Islam tersebut telah ditentukan oleh Allah swt, seterusnya setiap ketentuan ilahi tersebut sangat berkait dengan ibadah. Bagaimanapun, menyambut dua perayaan ini sangat berbeza dengan perayaan-perayaan lain yang sering kali disambut besar-besaran oleh sebahagian manusia dengan penuh meriah, warna-warni serta pengabaian aspek kerohanian. Perayaan tersebut dilihat berbeza kerana ianya lebih berunsurkan perayaan kebudayaan, perayaan kenegaraan, atau perayaan kelompok-kelompok tertentu yang mana perayaan tersebut tidak disyariatkan oleh Allah swt untuk kita menyambutnya. Oleh demikian, wajarkah sambutan Aidilfitri mahupun Aidiladha disambut secara bersama dengan perayaan keagamaan yang lain atau sering diistilahkan dengan ungkapan kongsi raya yang pernah berlaku beberapa tahun lalu?.

Aidiladha sering disebut oleh masyarakat Melayu terdahulu sebagai hari raya Korban. Penggunaan kalimah ‘korban’ oleh generasi terdahulu agak menarik untuk dicari jawapan. Bagi yang masih dangkal ini melihat generasi terdahulu cuba menyelitkan unsur mendidik keperibadian umat Islam di bumi bertuah ini supaya berjiwa besar dengan menggunakan ‘kata beralas’. Contohnya, sejarah mencatatkan bahawa, dengan takdir Allah swt, bumi bertuah ini pernah terjajah selama 446 tahun, sebelum dimerdekakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dengan tradisi diplomatik, namun bagaimana tradisi ini diwibawakan? Secara peribadi aku melihat beliau mengamalkan ungkapan ‘kata beralas’ dari sudut kemahiran bermain kata ‘kata beralas’, bukannya kemahiran bermain senjata. Jelas, kemahiran ini telah beliau dipusakai daripada generasi terdahulu yang mendedikasikan kata ‘korban’ yang secara halusnya bagi menerapkan unsur anti penjajah kedalam minda masyarakat Islam di bumi bertuah ini supaya kata ‘korban’ yang digabungkan dengan hari raya tidak memberi pengertian negatif kepada penjajah dan dengan keterbatasan media, istilah tersebut dapat disebarkan secara terbuka dan mesej perjuangan dapat disampaikan kepada masyarakat, hasilnya bumi bertuah ini mengecap kemerdekaan dengan penuh kebijaksanaan. Sebaliknya apakah akan berlaku sekiranya generasi terdahulu menggunakan istilah-istilah yang lebih gramatis menggantikan kata ‘korban’ ?.

Hari Raya Korban juga adalah pengiktirafan terhadap ketaatan dan kegigihan seorang isteri solehah terhadap suami yang melaksanakan ketentuan Allah swt. Menifestasi tersebut berdasarkan keredhaan Siti Hajar yang dibawa bermusafir oleh suaminya iaitu Nabi Ibrahim as kesebuah gurun pasir Bakkah (Mekah) bersama seorang putera sulungnya Nabi Ismail as. Wanita solehah itu redha dengan apa yang lakukan oleh suaminya dan dengan tabah melawan panas gurun pasir. Beliau berusaha mencari air untuk menghilangkan dahaga bayinya dengan berlari kesebuah bukit tetapi tidak menemuinya, maka beliau berlari ke sebuah bukit yang lain tetapi dibukit kedua itu pun beliau tidak menemui air. Seterusnya beliau melihat kearah bukit yang baru ditinggalkan, ia melihat kilauan sinar matahari yang nampak seakan-akan air dibukit itu dan segera Siti Hajar kembali kebukit tersebut tetapi beliau tidak menemui air yang dicarinya. Peristiwa itu berulang sebanyak tujuh kali sebagai qada dan qadar daripada Allah swt. Kini, kedua-dua bukit itu dikenali sebagai bukit Shafa dan Marwa, peristiwa tersebut dikenang sebagai ibadah sai’e dalam rukun ibadah haji. Rumusannya, ibadat dan ketaatan seorang suami berkait rapat dengan kerjasama dan pengorbanan yang sanggup dihadapi oleh isteri dan ditanggung oleh seorang suami. Melalui sikap sedemikian, roh agama dapat dimartabatkan dalam sebuah rumah tangga dan hasilnya generasi yang dilahirkan adalah generasi yang taat kepada perintah Allah swt sebagaimana Nabi Ismail a.s yang lahir daripada ibu bapa yang bertakwa.

Hari Raya Korban mendidik umat Islam berkaitan ketaatan Nabi Ibrahim as untuk menunaikan perintah Allah swt tanpa kompromi dan kesabaran anaknya Nabi Ismail as memenuhi perintah ilahi tanpa helah. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud “Maka takkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya) Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkan apa pendapatmu? Nabi Ismail a.s menjawab: “Wahai ayahku! jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang yang sabar”. Bagi melaksanakan perintah Allah swt itu, Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail as redha sepenuhnya kepada ketentuan Allah swt. Keyakinan untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah swt telah mendapat rahmat Allah swt. Melalui malaikat Jibrail as, Nabi Ibrahim as telah dikirimkan oleh Allah swt seekor Qibas dari syurga untuk menggantikan Nabi Ismail as. Qibas tersebut merupakan qurban yang telah dilakukan oleh Habil.

Seterusnya Allah swt merakamkan kisah tersebut melalui firmannya yang bermaksud : “Serta kami menyerunya: Wahai Ibrahim! engkau sudah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. “Demikian sebenarnya kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian”. Surah ash-Shaaffat, ayat 100-108. Rumusannya, sebagai umat Islam, kita wajar melakukan semua perintah-Nya dengan niat yang ikhlas kerana Allah swt semata-mata. Amalan yang dilakukan dengan dasar mendapatkan keredhaan Allah swt memungkinkan kita mendapat rahmat dari-Nya. Kelantan boleh dilihat sebagai contoh, sumber galian mula muncul daripada negeri tersebut apabila kepimpinan negeri tersebut berusaha memartabatkan kalimah Allah swt walaupun dalam keadaan penuh kepayahan.

Hari Raya Haji diperintahkan keatas umat Islam yang berkemampuan supaya menunaikan ibadah haji ke Baitullah al-Haram. Ibadah haji yang dilaksanakan oleh setiap jemaah pada saban tahun membawa banyak unsur pengajaran dan pendidikan dalam kehidupan sejagat. Pengajaran disebalik ibadah haji mendidik betapa pentingnya pengorbanan untuk mendapat ganjaran besar di sisi Allah swt. Mencari keredhaan ilahi bukanlah satu perkara yang mudah dan murah sebaliknya memerlukan pengorbanan dan iltizam yang tinggi. Haji mabrur iaitu pengampunan dosa, suci seumpama bayi yang baru lahir adalah ganjaran besar daripada Allah swt kepada para jemaah haji. Justeru, untuk meraihkan ganjaran besar itu, memerlukan pengorbanan, kesabaran, tekad dan dan serta iltizam yang tinggi.

Hari raya pada Zulhijjah bukan hanya pada 10 hari bulan, bahkan berterusan pada hari ke 11, 12, dan 13 yang juga lebih dikenali sebagai hari tasyrik dan umat Islam diharamkan berpuasa pada tarikh tersebut. Sebaliknya umat Islam disunatkan supaya bertakbir, bertahmid dan bertasybih mulai dari solat subuh hari Arafah sehingga solat Asar hari ke-13 Zulhijjah, ia dilakukan terutamanya selepas solat sama ada solat fardhu atau solat sunat. Umat Islam dianjurkan supaya menggiatkan ibadah pada malan Aiduladha berdasarkan hadith Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam Aidulfitri dan Aiduladha (dengan Ibadah), maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana hati manusia akan mati (iaitu leka daripada mengingati Allah )”. (Riwayat Ibnu Majah).

Selain itu, salah satu daripada keistimewaan Aiduladha dan hari tasyrik ialah ibadah korban. Ibadah korban hanya boleh dilakukan dalam masa empat hari iaitu bermula dari waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari (maghrib) pada hari ke-13 Zulhijjah. Ibadah korban mempunyai hikmah yang cukup besar dari sudut ibadah, kemasyarakatan serta ketakwaaan terhadap Allah swt. Ibadah korban juga adalah wadah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Disamping itu, ibadah korban memberi peluang kepada setiap muslim untuk menyucikan diri dari sebarang penyakit hati yang melekat dijiwa. Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Tidaklah anak Adam mengerjakan sesuatu pekerjaan pada hari korban yang lebih dicintai Allah swt daripada mengalirkan darah haiwan korban, Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku dan bulunya, sesungguhnya darah haiwan akan diterima Allah swt sebelum jatuh di tempat sembelihnya. Maka sucikanlah diri kamu dengan menyembelih haiwan korban”. (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi).

Mereka yang berkemampuan melakukan ibadah korban sewajanya mengagih-agihkan daging korban kepada golongan yang kurang bernasib baik, terutama fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan seumpamanya. Adalah disunatkan kepada sesiapa yang menjalankan ibadah korban supaya mengambil 1/3 (sepertiga) daripada daging korban untuk keluarga sendiri dan memberikan selebihnya kepada fakir miskin dan sebagainya. Jika keseluruhan daging korban itu diberikan kepada golongan fakir miskin, maka itulah yang sebaiknya di sisi Allah swt. Seterusnya sesiapa yang menjalankan ibadah korban disunatkan menyembelih haiwan korban itu sendiri dan jika tidak mampu hendaklah menyaksikan upucara korban itu, terutama apabila darah pertama mula mengalir kebumi kerana pada waktu tersebut Allah swt akan mengampuni dosa yang telah lalu dari orang yang melakukan korban itu.

Aiduladha, banyak ilmu dan pengajaran yang dapat digali dan digarap daripada pelbagai sudut ilmu seperti tauhid, sejarah, hukum, kemasyarakatan, pengorbanan, akhlak, yang sukar untuk mencari dimana hujungnya. Oleh itu, saya mengingatkan diri saya dan buat sekalian pembaca ambillah pengajaran sempena sambutan Hari Raya Aiduladha dan manfaatkan buat kelangsungan hidup kita pada hari-hari yang mendatang. Selamat hari raya Aiduladha maaf zahir batin.

No comments:

Post a Comment