Tuesday, March 9, 2010
Kedudukan ahli ilmu mengatasi kedudukan ahli ibadat, beribadat tanpa ilmu adalah sesat sebaliknya ilmu tanpa amal adalah sia-sia, bahkan tidur orang alim lebih baik daripada ibadat orang jahil. Setiap orang perlu belajar secara berguru untuk mendapatkan pelbagai jenis ilmu yang bermanfaat tanpa mengira tempatnya, sama ada jauh mahupun dekat dalam tempoh waktnya yang tiada hadnya.
Ada yang belajar ilmu agama Islam di sekolah pondok, menadah kitab bertalaqi dengan Tok Guru dari seusia muda sehingga tumbuh uban dikepala, sekian waktu lamanya agar menjadi orang alim. Ada yang menyambung pelajaran hingga ke universiti di dalam mahupun ke luar negara untuk mendalami ilmu agama. Harapan yang digantungkan untuk mempelajari ilmu agama agar lahir sebagai orang alim, orang yang menguasai ilmu-ilmu Islam dan sememangnya sangat beruntung apabila menjadi orang yang berilmu.
Terdapat ramai sekali orang yang alim tetapi tak kurang juga ramainya orang yang disangka alim tetapi alimnya bukan dalam erti kata yang sebenarnya. Cuma sebahagiannya sahaja seperti kerana tempat belajarnya, jurusanya, tutur katanya, pakaiannya yang menonjolkan ciri-ciri orang alim. Apa yang ingin di jelaskan disini walaupun seseorang itu dianggap sebagai alim. Namun, belum tentu mereka diberi faham tentang ilmu yang dimilikinya.
Oleh itu, paling beruntung adalah orang alim yang diberi kefahaman ilmu. Menjadi orang yang faham dalam agama tidak mudah. Sekalipun telah menghafal 30 juzuk Al-Quran, menghafal matan-matan beberapa kitab, berkemampuan membaca kitab-kitab tertentu, kebolehan mengajar khalayak pun bukan bermakna seseorang itu faham dalam agama.
Itulah yang didoakan nabi Muhammad SAW buat sahabat yang terkenal dengan kehebatan tafsirnya terhadap isi kandungan Al-Quran, Abdullah bin Abbas:
اللهم فقه في الدين وعلمه التأويل
"Ya Allah, Fahamkan dia dalam agama dan ajarkanlah dia ta'wil!"
Kefahaman Abdullah bin Abbas terhadap agama dan kemampuannya menta'wil terserlah dalam sebuah riwayat Imam Bukhari dalam Sahehnya mengenai tafsir surah An-Nasr.
Tindakan Syaidina Umar Al-Khattab memasukkan Abdullah bin Abbas dalam majlis mesyuarat telah dipersoalkan oleh ahli-ahli vetren Badar kerana pada waktu itu beliau masih muda remaja. Menangani kritikan para sahabat itu, Umar Al-Khtaab memanggil mereka dan berkata: "Pada hari ini aku mahu tunjukkan kepada kamu semua satu perkara yang kamu akan akui sebagai kelebihannya", Lalu Umar Al-Khattab meyuruh mereka menjelaskan maksud surah An-Nasr:
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ
Apabila datang pertolongan Allah
Maka, mereka menjelaskan bahawa surah tersebut adalah Allah menyuruh nabinya agar memuji Allah dan memohon ampun daripadaNya ketika melihat manusia memeluk Islam berduyun-duyun. Lalu, Umar Al-Khattab bertanya kepada Ibn Abbas tentang maksud ayat tersebut, lalu Ibn Abbas berkata:
"Allah memberitahu nabiNya bila dia akan wafat",
Demikianlah tajamnya fikiran Ibn Abbas di atas segala sahabat yang terlebih dahulu memeluk Islam dan lebih awal mendengar Al-Quran. Itulah seorang yang diberi faham dalam agama dan dilimpahkan kurnia kemampuan menta'wil.
Menjadi faham dalam agama membuat seseorang itu dapat meneliti isu sebenar di sebalik isu-isu tempelan. Lalu dia dapat mengulas penyelesaian terhadap sesuatu yang menjadi inti persoalan dan tidak disibukkan dengan persoalan tumpangan. Seorang yang diberi faham dalam agama, akan mengemukakan buah akal fikiran yang berbeza daripada pandangan umum. Oleh itu, seringkali juga seorang yang diberi faham dalam agama menghadapi tentangan daripada sebilangan orang alim.
Orang yang diberi faham agama sentiasa menjadikan dalil sebagai makanannya dalam berhujjah.
Orang yang diberi faham dalam agama, bila berhujjah, tidaklah akan berkata:'guruku telah berkata...kitab sekian menyebutkan...", lalu disenaraikan puluhan kitab rujukan karangan ulama muktabar. Orang yang diberi faham dalam agama menampilkan agama dalam neraca yang menjadikan orang rasa mudah untuk mengamalkannya. Orang yang diberi faham dalam agama, menyuluh jalan beragama untuk orang lain ke satu jalan yang jelas, meyakinkan dan jauh daripada keraguan ahli bid'ah dan orang berkepentingan. Orang yang diberi faham dalam agama, terserlah dalam pendekatannya yang jauh daripada emosi dan hamasah.
اللهم فقهنا في الدين
Sekian.
Wednesday, February 24, 2010
Akibat meninggalkan solat
Terdengar oleh telinga kita akan mendayunya suara azan yang dilaungkan muazzin sebanyak lima kali sehari, 35 kali seminggu, 150 kali sebulan, 1825 kali setahun, ataupun sudah berapa banyak jika dibandingkan dengan seusia kita sekarang. Tetapi sejauhman kita akur dengan seruan tersebut…hanya diri sendiri yang dapat menjawab dengan tepat.
Oleh itu, sempena dengan sambutan Maulidul Rasul kali ini, cuba-cubalah kita renungkan akan perkara tersebut kerana isu solat ini, sangat besar baki kita umat islam. Seterusnya saya paparkan diruangan ini akan akibat bagi sesiapa yang mengabaikan solat.
15 JENIS AZAB BAGI ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT
6 AZAB DI DUNIA
1. Dihilangkan keberkatan umurnya
2. Terhapus tanda-tanda orang soleh dari wajahnya
3. Segala amalannya tidak dikurniakan pahala
4. Doanya tidak dimakbulkan oleh Allah
5. Tiada doa daripada para solehin untuknya
6. Keluar roh daripada jasadnya tanpa iman
3 AZAB KETIKA HAMPIR MATI
1. Kematiannya penuh kehinaan
2. Kematiannya di dalam kelaparan yang amat hebat
3. Kematiannya di dalam kehausan yang amat dahsyat
3 AZAB KETIKA DI DALAM KUBUR
1 Kubur menghimpitnya sehingga berselisih tulang rusuknya
2. Dinyalakan api di dalam kuburnya, lalu dia dibalik-balikkan di atas api tersebut
3. Datanglah seekor ular bernama Syujja’ul Aqra’, suaranya laksana petir, ia berkata “Hai manusia!Sesungguhnya aku diperintahkan menyiksa kamu dari Zohor hingga Asar kerana kamu meninggalkan fardhu Zohor, dari Asar hingga Maghrib kerana kamu meninggalkan fardhu Asar”, begitulah seterusnya dan azab ini berkekalan sehingga hari Qiamat.
3 AZAB KETIKA BERTEMU ALLAH S.W.T
1. Datanglah Malaikat dengan rantai sepanjang 70 hasta lalu membelenggu lehernya dan disumbat ke dalam mulutnya kemudian disentap keluar rantai itu melalui duburnya, lalu diseret ke Neraka Saqar.
2. Tiada rahmat Allah dan tiada keampunan untuknya
3. Baginya azab yang amat pedih
Nauzubillahiminzalik….
Tuesday, January 12, 2010
Qada Puasa
Qadha Puasa
Di ruang ini saya akan menumpukan perbincangan berkaitan mengqada puasa bagi orang yang telah meninggal dunia.
Firman Allah swt di dalam surah al-Baqarah ayat 184-185 yang bermaksud :
184. (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.
185. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
Berdasarkan ayat diatas dapat dirumuskan bahawa terdapat empat golongan yang diberikan kelonggaran untuk meninggalkan puasa iaitu:
1. Wanita yang sedang hamil atau menyusui anak
2. Orang yang sakit
3. Orang yang bermusafir
4. Orang yang tidak berupaya untuk berpuasa
Wanita yang hamil ataupun sedang menyusukan anak tetapi bimbang akan terganggu aturan kehidupannya, dibolehkan membuka puasa namun, apabila telah bersalin ataupun telah tamat tempoh penyusuan (anak berhenti menyusu) hendaklah digantikan puasa yang ditinggalkan pada hari yang lain, selepas bulan ramadhan sehingga sebelum tiba bulan ramadhan yang berikutnya.
Wanita yang berpuasa tetapi bimbang dengan kesihatan anak yang dikandung ataupun bimbang kekurangan susunya maka dibolehkan membukakan puasa dengan syarat digantikan puasa itu pada hari lain serta ditambah dengan membayar fidyah. Keadaan ini berbeza kerana mereka termasuk kedalam golongan orang yang mampu berpuasa. Sebagaiman maksud firman Allah swt di dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud: dan wajiblah orang-orang yang berat menjalankan (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah (iaitu) memberi makan seorang miskin.
Orang yang sakit tidak boleh berpuasa, tetapi harus mengantikanya apabila sembuh. Allah swt berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: dan barang siapa sakit atau di dalam perjalanan (lalu ia berbuka) maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Sakit yang tidak boleh berpuasa mestilah dari jenis sakit yang mengakibatkan si sakit hilang keupayaan untuk berpuasa. Sakit yang ringan pula diharuskan berpuasa tetapi bertambah berat pada siang harinya maka diharuskan berbuka.
Bagi orang yang bermusafir pula, syarat diharuskan berbuka bagi perjalanan yang bukan bertujuan maksiat menurut syarak, bukannya menurut kemahuan sendiri. Walaubagaimanapun jika pada waktu pagi sebelum bermusafir, si musafir itu masih ada di rumah, maka tidak harus bagi si musafir itu untuk berbuka kerana ibadat yang menggunakan waktu mukim mewajarkannya berbuka jika musafir itu keluar daripada rumahnya sebelum fajar. Menurut Imam Ahmad dan Imam Shaafie bahawa musafir yang diharuskan berbuka puasa itu adalah di dalam perjalanan dua hari dua malan ataupun empat puloh lapan batu.
Orang yang terlalu tua (tua bangka) atau mempunyai penyakit yang tidak mungkin sembuh boleh berbuka puasa dengan mengantikan dengan membayar fidyah setiap hari yang ditingalkan 1 mud / 576 gram beras (makanan asasi) dan diberikan kepada fakir miskin, namun bagi orang yang tidak mampu untuk mengeluarkan fidyah maka hukum tersebut tidak terletak dibahunya.
Mengqadhakan Puasa Orang lain
Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana keuzuran, tetapi belum sempat diqadhakan puasa tersebut ia telah meninggal dunia, maka terdapat dua kaedah hukum untuknya;
1.Belum lagi memenuhi kewajipan puasa yang ditinggalkan olehnya kerana belum mampu untuk berpuasa, mungkin disebabkan penyakit yang ditanggung belum sembuh ataupun masih dalam misi bermusafir, dalam waktu tersebut seseorang itu telah meninggal dunia. Maka tidak berkewajipan untuk wali / waris menggantikan puasanya, tidak membayar fidyah dan tidak berdosa.
Orang yang sakit sepanjang waktu pula, tidak boleh diharapkan untuk sembuh walaupun belum meninggal dunia, maka cukuplah dengan membayar fidyah kepada fakir miskin setiap hari 1 mud.
2.Sebaliknya, jika orang yang meninggal dunia tersebut, pernah sihat selepas 2 syawal tetapi dia tidak mengqadhakan puasanya sehingga sampai waktu kematiannya, maka terdapat 2 pendapat berkaitan perkara tersebut iaitu;
i. Dikeluarkan kepada fakir daripada hartanya berdasarkan jumlah hari puasa yang ditinggalkan itu sebagai fidyah sebanyak 1 mud. Pendapat ini dianggap lemah kerana harta yang ditinggalkan itu adalah hak warisnya, terutama jika si mati mewariskan anak-anak yang masih belum balig.
ii.Walinya harus menggantikan dengan puasa, iaitu harus diqadhakan oleh ahli keluarganya yang terdekat. Dari Aisyah, telah bersabda Rasulullah saw, mafhumnya: “Barang siapa yang mati dengan meninggalkan kewajipan (qadha) puasa, hendaklah walinya berpuasa untuk menggantikannya”. Riwayat Bukhari dan Muslim.
Namun, pada pendapat lain bahawa puasa yang boleh dikerjakan oleh orang lain itu hanyalah puasa nazar. Berdasarkan alasan dengan hadis di bawah ini. Dari Ibnu Abas, sesungguhnya seorang perempuan telah bertanya kepada Rasulullah saw, katanya: “Ibu saya telah meningal dunia dan ia ada ketinggalan puasa nazar yang belum dikerjakan, apakah saya boleh puasa menggantikannya?” jawab Rasulullah saw: “bagaimana pendapatmu kalau Ibumu itu mempunyai hutang kemudian engkau mmebayar hutangnya itu, adakah terbayar hutang Ibumu itu?”. Jawab perempuan itu: tentu terbayar”. Rasulullah saw berkata “Berpuasalah engkau untuk menggantikan puasa ibumu” Riwayat Muslim.
Semoga apa yang dinukilkan ini member sedikit pedoman buat pembaca, dan bertanyalah kepada orang yang alim sekiranya belum betul-betul memahami.