Showing posts with label ilmiah. Show all posts
Showing posts with label ilmiah. Show all posts

Thursday, May 27, 2010

Tarikat Dan Kesufian

Tarikat Dan Kesufian

Telah menjadi fitrah setiap manusia mempercayai kewujudan zat yang Maha Berkuasa. Kepercayaan tersebut akan menjadikan insan yang sempurna akal berpegang kepada prinsip beragama dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah swt. Usaha untuk mengabdikan diri kepada Allah swt perlu berpandukan kepada bimbingan wahyu, dan wahyu disampaikan oleh Allah swt melalui malaikat Jibril, hanya kepada Nabi dan Rasul sahaja. Sebaliknya, tanpa bimbingan wahyu manusia akan tersasar dengan kesesatan yang nyata, terutamanya dalam dua perkara asas yang tidak mampu dijelaskan oleh akal melainkan dengan bimbingan wahyu iaitu:

1) Dalam mensifatkan Tuhan yang sebenar.
Berpandukan akal yang terbatas, manusia cuba mengkonsepkan Tuhan dengan fizikal-fizikal yang tertentu. Bagi agama A begitu Tuhannya, berbeza dengan Tuhan agama B, dan tidak sama dengan Tuhan agama C. Berpandukan akal semata-mata, ternyata manusia teraba-raba dalam mencari tuhannya. Oleh itu, Islam melarang umatnya mengkonsepkan Allah swt melainkan dengan sumber wahyu sama ada al-Quran dan al-sunnah.

2) Dalam menjalani ibadah yang dikehendaki oleh Tuhan.
Manusia juga tidak mampu menentukan cara beribadah tanpa berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Ini kerana ibadah adalah agama dan agama tidak boleh diambil sumbernya melainkan hanya wahyu dari Allah swt sahaja. Oleh itu, Islam menolak menokok tambah ibadah tanpa sumber daripada al-Quran dan as-Sunnah.
Oleh demikian, ibadah yang bersumberkan daripada al-Quran dan as-Sunnah akan sempurna apabila ianya berteraskan beberapa ciri-ciri tertentu antaranya:

1) Ibadah hendaklah dibina berteraskan aqidah yang sahih dan jelas.
Sesiapa yang tidak beriman dengan iman yang diredhai oleh Allah swt, maka ibadahnya tertolak. Sebagaimana Firman Allah swt yang bermaksud : dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun. (Surah al-Nisa’ 124). Berdasarkan ayat tersebut jelas bahawa, beriman kepada Allah swt dalam erti kata mengambil Islam sebagai ad-Deen adalah syarat bagi melakukan amal soleh. Sebaliknya manusia yang rosak aqidah akan menyebabkan ibadahnya tertolak.

2) Ibadah yang sempurna adalah ikhlas kerana Allah swt.
Ikhlas sebagai seorang hamba dalam menunaikan perintah Allah swt. (sila rujuk tafsir surah al-Ikhlas) Ikhlas perlu wujud dalam bentuk pakej iaitu dari kata-kata, perbuatan dan niat yang tidak boleh terpisah walaupun salah satu daripadanya. Sebaliknya, keikhlasan beribadah akan rosak jika ibadah yang dilakukan itu bersyarat, seperti ibadah ini dilakukan untuk mendapatkan ini, syeikh ini menyuruh kita melakukan amalan ini, kita melakukan amalan ini supaya kita dilihat begini.
Unsur riya’ juga boleh menganggu keikhlasan beribadah. Menurut Ibn Jauzi (w. 597H) ‘dikalangan golongan zuhhad (golongan sufi) ada mereka memakai baju yang koyak tidak dijahit dan membiarkan serban dan janggutnya tidak terurus untuk menunjukkan dia tidak mementingkan dunia. Ini adalah dari bahagian riyak. Berdasarkan kritikan daripada Ibn Jauzi, sifat riyak boleh membelenggu keikhlasan beribadah jika tidak dikendalikan dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

3) Ibadah mestilah bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah saw. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud : Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari ugama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah al-Syura:21).

Menurut Dr. Yusuf al-Qardawi di dalam kitabnya yang berjudul al-Ibadah Fi al-Islam bahawa ibadah hendaklah dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan Allah swt dengan kaifiyyat yang diredhainya. Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan. Menurutnya lagi, tidak boleh bagi sesiapa pun dari kalangan imam-iman kaum muslimin sekalipun tinggi darjat ilmunya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana badan ilmu sekalipun hebat kedudukannya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana institusi ilmu, atau golongan dari kaum muslimin sama ada kecil atau besar untuk mencipta intida’ yang baru dalam agama Allah swt, atau menokok tambah ibadah yang ada dalam agama, atau mengubah cara yang dilakukan pada zaman Rasulullah swt. Ini kerana hanya Allah swt pembuat syariat dan al-Rasul adalah penyampai sedangkan kita hanyalah pengikut. Segala kabaikan dalam ibtida’ adalah mengikut apa yang ditentukan oleh Allah swt dan Rasulnya. Oleh itu, tarikat iaitu jalan beribadah menuju kepada Allah swt adalah terpuji jika berlandaskan kedua sumber agung tersebut.

Saya menulis berkaitan tarikat kerana sejak akhir-akhir ini telah muncul beberapa tokoh tarikat di kawasan tertentu yang agak menarik untuk diberi perhatian. Hal ini, demikian kerana beberapa faktor antaranya seperti pengikut yang sedang kehausan ilmu agama dan tercari-cari guru yang boleh membimbing …..

Sebagai umat Islam, kita telah sedia maklum bahawa Isi kandungan yang ada di dalam al-Quran dan as-Sunnah telah lengkap bagi keperluan umat Islam. Nas-nas al-Quran dan as-Sunnah telah menyediakan pelbagai penawar bagi rohani serta tazkiah al-Nafs. Ahli al-Sunnah berpegang bahawa tarikat untuk membersihkan rohani telah ditunjuk dengan jelas oleh Rasululah saw. Ia lebih dari jalan segala syeikh tarikat yang ada. Bahkan mana-mana tarikat yang bercanggah dengan jalan Rasulullah saw adalah tertolak.
Seterusnya, sebagai panduan kepada mereka yang ingin menghindari daripada penyelewengan kefahaman yang kadangkala wujud dalam golongan tarikat, kebiasaanya penyelewengan berlaku dalam beberapa keadaan yang dapat diperhatikan sebagaimana berikut :

1) Isi kandungan ajaran, dengan meneliti asas pegangan dan perjalanan sesuatu ajaran serta dibandingkan dengan apa yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah, maka kita akan dapat menemukan kebenarannya ataupun sebarang penyelewengan yang telah berlaku.

2) Melampau dalam memuliakan syeikh atau guru. Mereka memuliakan guru lebih daripada yang sepatutnya, sikap ini ditanam keminda murid agar mereka patuh dan tidak akan berhujah berkaitan apa-apa kesilapan yang berlaku.

3) Menegah muridnya menentang atau menyangkal sesuatu yang diperbuat oleh syeikh walaupun cukup nyata amalan yang dilakukan syeikh itu bercanggah dari ajaran Islam. Kebiasaanya syeikh akan berhujjah dengan kisah nabi Musa a.s dengan nabi Khidir a.s (rujuk surah al-Kahfi ayat 60-82).

4) Melebihkan kedudukan seseorang syeikh daipada kedudukan Rasulullah saw. Harus diingat Rasulullah saw adalah kekasih Allah swt, nama baginda juga terkandung didalam al-Quran, dua kalimah syahadah, bacaan tahyat dan sebagainya.

5) Perlu meminta izin syeikh sebelum melakukan sesuatu perkara seperti perjalanan, perkhawinan, pekerjaan dan sebagainya selain itu, keutamaan keperluan syeikh perlu didahulukan daripada keperluan murid.

6) Mensyaratkan ketaatan mutlak daripada murid. Iaitu meninggalkan ikhtiar diri, sebaliknya mematuhi arahan syeikh tanpa soal, pertimbangan, apatah lagi untuk membantahnya.

7) Membuat tafsiran yang aneh-aneh terhadap nas-nas agama dan mereka berbangga dengannya kerana mereka merasakan lebih pandai dan istimewa daripada orang ilmuan agama lain, kadangkala mereka mengatakan ilmu ladunni, ilham daripada Allah swt dan sebagainya bagi mematikan solan murid.

8) Kecacatan dalam manhaj al-Talaqqi iaitu kaedah bagi pengambilan sumber maklumat agama. Ahl al-Sunnah berpegang bahawa sumber rujukan Islam adalah al-Quran dan as-Sunnah dengan sanad perawi yang jelas sehingga kepada Rasulullah saw. Sebaliknya tarikat yang menyeleweng akan mejadikan pegangan asas mereka ialah kisah-kisah golongan sufi atau wali yang sukar dipastikan kesahihannya.

9) Menjadikan mimpi, ilham, kasyaf dan khayalan sebagai sumber agama. Sebagaiman firman Allah swt yang bermaksud :16. dan Demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa Yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,
Menurut Dr. Whabah al-Zuhaili: adapun ilham, ada kemungkinan ia daripada Allah swt, kemungkinan ia daripada Syaitan.

10) Sesetengah tarikat membawa kisah-kisah palsu untuk membuktikan kehebatan guru atau aliran tarikat mereka. Mereka mengada-adakan cerita-cerita karamah yang menyanggahi fakta-fakta Islam seperti boleh beryaqazah dengan orang-orang tertentu yang telah meninggal dunia dalam bentuk rupa yang asal.

11) Mereka mudah sekali untuk menyandarkan sesuatu hadith kepada Rasulullah saw. Menurut al-Imam Ibn al-Salah (w.643) golongan sufi antara penyumbang utama dalam pemalsuan hadith. Mereka berbuat demikian untuk menggalakkan orang ramai membuat kebaikan. Mereka membenarkan diri mereka melakukan pendustaan keatas nabi di dalam tarhib (menakutkan berkaitan dosa) dan targhib (menggalakkan beribadah).

Sebagai rumusannya, kita renungi maksud hatith yang berbunyi ‘ sesungguhnya Bani Israel berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak, kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak. Mereka bertanya ‘apakah puak itu wahai rasulullah?’ jawab baginda: ‘apa yang aku dan para sahabatku berada diatasnya’. Justeru rujukan kita dalam menentukan sesuatu perkara bukan pada nama atau sangkaan orang ramai, sebalikya pada isi kandungan yang diteliti secara adil dan saksama, semoga selamat dari kesesatan.




Tuesday, January 12, 2010

Qada Puasa

Qadha Puasa

Di ruang ini saya akan menumpukan perbincangan berkaitan mengqada puasa bagi orang yang telah meninggal dunia.

Firman Allah swt di dalam surah al-Baqarah ayat 184-185 yang bermaksud :

184. (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

185. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Berdasarkan ayat diatas dapat dirumuskan bahawa terdapat empat golongan yang diberikan kelonggaran untuk meninggalkan puasa iaitu:

1. Wanita yang sedang hamil atau menyusui anak

2. Orang yang sakit

3. Orang yang bermusafir

4. Orang yang tidak berupaya untuk berpuasa

Wanita yang hamil ataupun sedang menyusukan anak tetapi bimbang akan terganggu aturan kehidupannya, dibolehkan membuka puasa namun, apabila telah bersalin ataupun telah tamat tempoh penyusuan (anak berhenti menyusu) hendaklah digantikan puasa yang ditinggalkan pada hari yang lain, selepas bulan ramadhan sehingga sebelum tiba bulan ramadhan yang berikutnya.

Wanita yang berpuasa tetapi bimbang dengan kesihatan anak yang dikandung ataupun bimbang kekurangan susunya maka dibolehkan membukakan puasa dengan syarat digantikan puasa itu pada hari lain serta ditambah dengan membayar fidyah. Keadaan ini berbeza kerana mereka termasuk kedalam golongan orang yang mampu berpuasa. Sebagaiman maksud firman Allah swt di dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud: dan wajiblah orang-orang yang berat menjalankan (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah (iaitu) memberi makan seorang miskin.

Orang yang sakit tidak boleh berpuasa, tetapi harus mengantikanya apabila sembuh. Allah swt berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: dan barang siapa sakit atau di dalam perjalanan (lalu ia berbuka) maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Sakit yang tidak boleh berpuasa mestilah dari jenis sakit yang mengakibatkan si sakit hilang keupayaan untuk berpuasa. Sakit yang ringan pula diharuskan berpuasa tetapi bertambah berat pada siang harinya maka diharuskan berbuka.

Bagi orang yang bermusafir pula, syarat diharuskan berbuka bagi perjalanan yang bukan bertujuan maksiat menurut syarak, bukannya menurut kemahuan sendiri. Walaubagaimanapun jika pada waktu pagi sebelum bermusafir, si musafir itu masih ada di rumah, maka tidak harus bagi si musafir itu untuk berbuka kerana ibadat yang menggunakan waktu mukim mewajarkannya berbuka jika musafir itu keluar daripada rumahnya sebelum fajar. Menurut Imam Ahmad dan Imam Shaafie bahawa musafir yang diharuskan berbuka puasa itu adalah di dalam perjalanan dua hari dua malan ataupun empat puloh lapan batu.

Orang yang terlalu tua (tua bangka) atau mempunyai penyakit yang tidak mungkin sembuh boleh berbuka puasa dengan mengantikan dengan membayar fidyah setiap hari yang ditingalkan 1 mud / 576 gram beras (makanan asasi) dan diberikan kepada fakir miskin, namun bagi orang yang tidak mampu untuk mengeluarkan fidyah maka hukum tersebut tidak terletak dibahunya.

Mengqadhakan Puasa Orang lain

Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana keuzuran, tetapi belum sempat diqadhakan puasa tersebut ia telah meninggal dunia, maka terdapat dua kaedah hukum untuknya;

1.Belum lagi memenuhi kewajipan puasa yang ditinggalkan olehnya kerana belum mampu untuk berpuasa, mungkin disebabkan penyakit yang ditanggung belum sembuh ataupun masih dalam misi bermusafir, dalam waktu tersebut seseorang itu telah meninggal dunia. Maka tidak berkewajipan untuk wali / waris menggantikan puasanya, tidak membayar fidyah dan tidak berdosa.

Orang yang sakit sepanjang waktu pula, tidak boleh diharapkan untuk sembuh walaupun belum meninggal dunia, maka cukuplah dengan membayar fidyah kepada fakir miskin setiap hari 1 mud.

2.Sebaliknya, jika orang yang meninggal dunia tersebut, pernah sihat selepas 2 syawal tetapi dia tidak mengqadhakan puasanya sehingga sampai waktu kematiannya, maka terdapat 2 pendapat berkaitan perkara tersebut iaitu;

i. Dikeluarkan kepada fakir daripada hartanya berdasarkan jumlah hari puasa yang ditinggalkan itu sebagai fidyah sebanyak 1 mud. Pendapat ini dianggap lemah kerana harta yang ditinggalkan itu adalah hak warisnya, terutama jika si mati mewariskan anak-anak yang masih belum balig.

ii.Walinya harus menggantikan dengan puasa, iaitu harus diqadhakan oleh ahli keluarganya yang terdekat. Dari Aisyah, telah bersabda Rasulullah saw, mafhumnya: “Barang siapa yang mati dengan meninggalkan kewajipan (qadha) puasa, hendaklah walinya berpuasa untuk menggantikannya”. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Namun, pada pendapat lain bahawa puasa yang boleh dikerjakan oleh orang lain itu hanyalah puasa nazar. Berdasarkan alasan dengan hadis di bawah ini. Dari Ibnu Abas, sesungguhnya seorang perempuan telah bertanya kepada Rasulullah saw, katanya: “Ibu saya telah meningal dunia dan ia ada ketinggalan puasa nazar yang belum dikerjakan, apakah saya boleh puasa menggantikannya?” jawab Rasulullah saw: “bagaimana pendapatmu kalau Ibumu itu mempunyai hutang kemudian engkau mmebayar hutangnya itu, adakah terbayar hutang Ibumu itu?”. Jawab perempuan itu: tentu terbayar”. Rasulullah saw berkata “Berpuasalah engkau untuk menggantikan puasa ibumu” Riwayat Muslim.

Semoga apa yang dinukilkan ini member sedikit pedoman buat pembaca, dan bertanyalah kepada orang yang alim sekiranya belum betul-betul memahami.