Tuesday, August 3, 2010

Terapi al-Quran


Bergambar bersama En Mohd Naim Niamat penerbit rancangan misteri di salah sebuah tv swasta.


Bergambar bersama ustaz Syarhan Syafie di Sandakan, Beliau merupakan seorang pengamal rawatan berasaskan al-Quran, dan beliau telah beberapa kali datang membimbing saudaranya di Sandakan dan Kinabatangan berkaitan rawatan berasaskan al-Quran.



Terapi al-Quran

Kaedah rawatan yang menegahkan kaedah doa yang bersumberkan daipada ayat-ayat suci al-Quran sebagai kaedah rawatan alternative bukanlah mudah untuk diaplikasikan dialaf baru ini, walaupun kaedah tersebut telah sekian lama diamalkan dari zaman berzaman. Namun, masyarakat kini belum terdedah secara khusus berkaitan falsafah serta hakikat kaedah rawatan yang bersumberkan doa-doa tertentu sehingga menyebabkan kaedah rawatan seperti ini sering dianggap sebagai kaedah rawatan tempelan, tradisional, tak releven dengan peredaran zaman, bahkan ada yang beranggapan kaedah tersebut sejajar dengan amalan bidaah, karut marut, serta pemujaan.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila terdapat pengamal rawatan alternative yang mendampingkan diri mereka dengan pelbagai jenis makhluk halus, jampi mentera, serapah serta diselitkan dengan ungkapan-ungkapan yang diserapkan dengan unsur-unsur Islam seperti salam, basmalah, nama-nama nabi juga malaikat dan sebagainya.

Apabila unsur tersebut masih melingkari persekitaran masyarakat, ia menyebabkan usaha untuk menembusi kembali minda masyarakat supaya kembali menerima kaedah doa sebagai suatu kaedah rawatan alternative lebih berhadapan dengan kemelut rumpun persekitaran masyarakat. Masyarakat yang pernah terjajah fizikal dan minda lebih 400 tahun serta terasuh dengan kehidupan moden lebih suka mempersoalkan mungkinkah sesuatu penyakit boleh dirawat dengan hanya menggunakan doa dan mungkinkah sakit manusia boleh sembuh dengan menggunakan air sahaja. Harus disedari air yang diminum itu pernah menjadi kegunaan oleh nabi Ayub, menghanyutkan ikan nabi Khaidir, melancarkan bahtera nabi Nuh, melepaskan nabi Yunus dari perut ikan, menemukan nabi Sulaiman dengan seorang ahli ibadah dari dasar laut, menjadi hujan, menjadi sunami, menjadi gelora, menenggelamkan Firaun bahkan pelbagai lagi.

Anggapan sebegitu rupa muncul daripada masyarakat yang enggan memahami atau tidak menerima konsep doa dan rawatan yang bersumberkan kepada ayat-ayat suci al-Quran serta al-Hadith berdasarkan bimbingan yang pernah diaplikasikan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Keadaan ini lebih bercelaru apabila wujud golongan yang terdidik dengan didikan agama cuba menafikan logik penggunaan doa sebagai salah satu cara untuk mengatasi masalah manusia.

Punca sebenar keengganan mereka yang tidak mempelajari agama untuk menerima doa sebagai salah satu kaedah rawatan adalah jelas, iaitu kerana mereka tidak memehami konsep doa menurut syariah Islamiah. Walaupun demikian, masyarakat sedar penyakit bukan semata-mata berpunca daripada gangguan fizikal, tetapi juga berpunca daripada gangguan mental, yang berkaitan dengan hati ataupun roh yang lebih sesuai dirawat menggunakan ayat-ayat al-Quran,al- Hadith, doa-doa dan sebagainya.

Menurut Ibnu al-Qayyim jenis-jenis rawatan merangkumi, rawatan penyakit rohani dan jasmani. Penyakit rohani melibatkan dua jenis iaitu perasaan cemas dan ragu serta nafsu yang tidak terkendali. Rawatan penyakit tersebut mustahil dapat dilakukan tanpa petunjuk Rasulullah s.a.w dan ketenangan rohani hanya dapat diperolihi dengan mengenal Allah s.w.t yang mencipta sekalian alam. Bagi penyakit jasmani, rawatan penyakit dilakukan dengan salah satu daripada tiga kaedah iaitu memelihara kesihatan, memperkuatkan ketahanan badan bagi menghadapi serangan penyakit dan merawat penyakit yang telah menimpa seseorang.

Namun demikian, sebagai umat Islam, kita tidak boleh menerima rawatan yang menggunakan kaedah-kaedah tertentu seperti tukang tilik, tukang nujum, tangkal, sihir serta ubat guna-guna.

Oleh itu, sebagai umat Islam, sewajarnya kita tidak meminggirkan penggunakan doa dalam kaedah kita merawat sesuatu penyakit disamping menerima kaedah rawatan moden. Para ulama sepakat bahawa, al-Quran boleh menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani manusia dengan izin daripada Allah s.w.t. Antara alasan mereka kemukakan ialah al-Quran bukan sahaja kitab hidayah, bahkan juga kitab yang boleh merawat penyakit manusia dengan syarat proses rawatan itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas, kosong hati dari syirik dan tidak melibatkan unsur-unsur yang haram.

Menurut imam Nawawi, merawat dengan bersumber kepada ayat-ayat suci al-Quran tidak sesuai bagi orang tidak tahu menahu berkaitan al-Quran seperti kaedah tatabahasa Arab, tajwid, fasahah dan sebagainya yang boleh menyebabkan kesucian al-Quran tercemar apabila seseorang perawat itu jahil berkaitan al-Quran.

Sebaliknya seseorang yang memperlengkapkan diri dengan ilmu agama yang mantap, mempunyai aqidah yang kuat, tahu sedikit sebanyak berkaitan tatabahasa Arab yang betul, dengan itu barulah al-Quran benar-benar menjadi penawar kepada penyakit rohani dan jasmani manusia.

Dalam melakukan rawatan, Rasulullah s.a.w memerintahkan umatnya mengambil rawatan apabila mereka menghadapi satu-satu penyakit dan tidak bolah membiarkan diri mereka binasa kerana sesuatu penyakit sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Setiap penyakit itu ada ubatnya, apabila ubat itu berjaya mengalahkan penyakit, berlakulah kesembuhan dengan izin Allah s.w.t”. Menurut ibnu al-Qayyim al-Jaeziyyah, penegasan nabi s.a.w. “Setiap penyakit ada ubatnya” merupakan daya pendorong yang kuat kepada pesakit mahupun bagi para doktor, untuk terus berusaha mencari ubat kepada sesuatu penyakit.

Selain dari itu, Rasulullah s.a.w menggalakkan seseorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang rawatan, supaya bukan sahaja merawat diri sendiri, malahan juga merawat orang lain yang terkena panyakit. Rasulullah pernah bersabda bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh seorang Arab Dusun berkaitan keperluan mengambil rawatan yang bermaksud: “Ya, wahai hamba-hamba Allah s.w.t berubatlah anda sekalian, sesungguhnya Allah s.w.t tidak meletakkan penyakit kecuali turut meletakkan penawar atau ubatnya, kecuali satu jenis penyakit sahaja. Para sahabat bertanya: Apakah penyakit itu wahai Rasulullah s.a.w? Jawab baginda: Penyakit tua.

Jelas bahawa, nyawa merupakan suatu yang penting kepada manusia, kerana itu, jika terdedah kepada bahaya penyakit, rawatan yang sewajarnya perlu dilakukan segera sama ada menggunakan kaedah rawatan moden yang canggih dibantu oleh doktor-doktor yang pakar dalam bidang masing-masing serta kaedah terapi al-Quran, al-Hadith dan doa. InsyaAllah, kesembuhan itu hanya tertentu dibawah kekuasan Allah semata-mata. Manusia ditugaskan berusaha dan beriktiar sebelum bertawakal. Dan takabbur itu akan membinasakan.

Monday, August 2, 2010

Tasbeh

Tasbeh

Syukur Alhamdulillah, di penghujung bulan Syaaban ini, saya masih diberi kesempatan oleh Allah swt untuk menulis beberapa perihal berkaitan keagamaan yang mungkin memberi manfaat kepada sesiapa yang ingin mengambil manfaat darinya. Kali ini saya ingin berkongsi berkaitan tasbeh. Tasbih agak sinonim dengan amalan zikir, wirid, tahlil dan sebagainya. Tambahan beberapa ketika dahulu saya, diusik oleh seorang rakan jemaah perihal penggunaan tasbeh. Katanya “anta menggunakan tasbeh ni, anta dah terima ijazahnya ke?...”. Mingkin dikesempatan yang ada ini tidak mampu untuk membahaskan perihal tasbeh tersebut secara keseluruhan, namun, apa yang diharapkan pada ruang ini dapat menambah pengetahuan pembaca berkaitan tasbeh. Insyaallah.

Alat kiraan tasbeh berantai asalnya ialah suatu alat berzikir yang dicipta dan digunakan oleh penganut-penganut agama Nasrani yang digelar ‘rosary’. Mangukut kajian lain alat tasbeh juga mempunyai asal usul daripada agama lain, contohnya agama Hindu, ianya di gunakan oleh kumpulan Brahman, India yang disebut dalam bahasa Sanskrit sebagai ‘Jibmala’. Agama Buddha juga ada megunakan tasbeh berantai ini, dan ianya di sebut sbg ‘Wisnuisme’. Alat-alat sebegini telah wujud sebelum Islam setelah kedatangan Islam, agama yang murni ini mengajar umatnya berzikir dengan cara kiraan jari sendiri. ( Sheikh al-Hamih al-Husaini: Pembahasan Tuntas Perihal Khilafiyah )

Demikian, asal usul kiraan berantai ‘tasbeh’ yang tanpa disedari, digunakan oleh ramai umat Islam kini. al-Quran dan hadith juga melarang umat Islam daripada meniru adat istiadat dan perbuatan orang bukan Islam. Apatah lagi cara peribadatan mereka. Namun, Rasulullah s.a.w tidak menghalang umatnya mengunakan sesuatu selain jari-jari tangan mereka sebagai cara mengira zikir ‘sunnh taqririyah’, iaitu persetujuan Rasulullah s.a.w dengan cara baginda tidak menghalang sesuatu yang dilakukan. Namun, harus dingat bahawa ‘sunnah taqririyah’ berkedudukan selepas ‘sunnah kauliyah’ dan kemudiannya ‘sunnah fi’iliyyah’.

Oleh demikian, adalah tersabit berdasarkan hadith-hadith Rasulullah s.a.w bahawa baginda berzikir, membilang dengan jari-jarinya. Daripada Abdillah bin Amr r.a berkata “Aku melihat Rasulullah s.a.w menghitung bacaan tasbeh dengan tangan kanannya.” Hadith riwayat Tarmizi. Selain itu, Abdillah bin Amr r.a juga telah berkata: Aku melihat Rasulullah s.a.w menghitung-hitungkan jarinya seraya bersabda “Jika salah seorang daripada kamu hendak tidur lalu dia bertasbeh 33 kali (Subhanallah), bertahmid 33 kali (Alhamdulillah) dan bertakbir 34 kali (Allahu Akbar); maka hal ini akan terhitung sebagai 100 di dalam lisan dan akan terhitung sebagai 1000 di dalam timbangan. Hadith riwayat an-Nasai.

Yasirah r.a berkata, Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada kami: “Bacalah tahlil, tasbeh dan taqdis tetapi jangan lupa, yang akibatnya kamu melupakan rahmat (Allah). Oleh kerana itu, hitunglah dengan jari-jari, kerana jari-jari itu kelak akan ditanya dan akan berbicara”. Hadith riwayat Imam Ahmad.

Selain daripada itu, dibolehkan juga menghitung zikir dengan sesuatu alat lain. Di zaman Rasulullah s.a.w baginda membolehkan pengunaan batu-batu kecil atau biji-bijian sebagai cara mengira zikir. Sebagaimana hadith berikut : Saad bin Abi Waqqash r.a menceritakan , sesungguhnya dia pernah masuk ke rumah seorang wanita bersama Rasulullah s.a.w sedang di tangan wanita itu ada biji-bijian atau batu kerikil yang ia pakai untuk membaca tasbeh.
Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Mahukah kamu aku beritahu sesuatu yang lebih mudah bagi kamu daripada ini dan justeru lebih utama? Iaitu bacalah Subhanllah …” Hadith Riwayat imam Tirmizi.

Shafiyyah berkata bahawa Rasulullah s.a.w pernah masuk ke rumahku sedang di tangan aku ada empat ribu biji-bijian yang aku pakai untuk bertasbeh, lalu dia bertnya “bukankah telah aku ajarkan kepada kamu bertasbeh dengan sesuatu yang lebih banyak dari itu?” Shafiyyah berkata: “ajarkanlah aku!” Rasulullah s.a.w bersabda : Bacalah: “Subhaana loh hi a’dada kholkih” yang bermaksud: maha suci Allah sebanyak makhluknya “ Hadith riwayat Tarmizi.
Daripada hadith tersebut jelas bahawa Rasulullah s.a.w tidak menghalang umatnya mengunakan sesuatu selain jari-jari tangan mereka sebagai cara mengira zikir ‘sunnh taqririyah’, iaitu persetujuan Rasulullah s.a.w dengan cara baginda tidak menghalang sesuatu yang dilakukan. Namun, harus dingat bahawa ‘sunnah taqririyah’ berkedudukan selepas ‘sunnah kauliyah’ dan kemudiannya ‘sunnah fi’iliyyah’.

Diantara pilihan berzikir dengan jari-jari, atau sesuatu selain daripadanya, maka hendaklah diutamakan pengunaan jari-jari tangan, kerana terdapat anjuran untuk mengunakannya. Selain itu, jari seseorang itu akan menjadi saksi bagi dirinya di akhirat. Lebih utama daripada itu, berzikir dengan jari adalah dicontohi sendiri oleh Rasulullah s.a.w dan baginda adalah sebaik-baik contoh untuk tauladan.

Akan tetapi, tidaklah digalakkan mengunakan alat kiraan yang berupa rantai atau susunan manik-manik dalam sekalung tali. Ianya lebih di kenali sebagai ‘tasbeh’ pengunaan tali rantai tasbeh atau lain-lain bentuk alat kiraan berantai sebenarnya adalah peniruan terhadap cara berzikir agama Nasrani. Agama Islam menegah kita daripada meniru adat orang belum Islam. ( fundamentals of tawheed, ms 160, hasil tulisan Rr.Abu Ameenah Bilal Philips )

Akhir kata kita elakkan dripada meniru apa-apa pun amalan yang condong kepada amalan agama lain. Menghitung bacaan tasbeh dengan jari tangan adalah cara Rasulullah saw dan baginda adalah sebaik-baik contoh teladan. Namun, saya tiada jawapan bagi persoalan penggunaan tasbeh perlu kepada pengijazahan daripada guru. Kerana nabi pun tidak menggunakan tasbeh, jadi yang menjadi persoalan lain pula guru yang mengijazahkan tasbeh itu, terima ijazah daripada siapa…?.

Friday, July 9, 2010

Fadhilat Ayat al-Kursi

Fadhilat Ayat Kursi

Ayat al-Kursi diwahyu oleh Allah swt kepada Rasulullah saw setelah hijrah. Ketika ayat ini diturunkan beribu-ribu Malaikat mengiringi ayat tersebut kerana kehebatan dan kemuliaannya yang Allah swt ganjarkan padanya. Sebaliknya pula, menjadi gempar sekalian Syaitan dan Iblis yang terkejut besar kerana datangnya satu perintang yang akan menghalang aktiviti penyesatannya. Nabi Muhammad saw segera memerintahkan Zaid bin Sabit menulis serta menyebarkannya. Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, pagi dan petang, keluar masuk rumah atau hendak musafir, insyaAllah akan terpelihara dirinya daripada godaan Syaitan, kejahatan manusia dan binatang buas yang akan memudaratkan.

Ayat al-Kursi bukan saja melindungi dirinya sendiri, bahkan keluarga, anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah. Mengikut ketenangan kitab ‘Asraarul Mufidah’, sesiapa mengamalkan membacanya Setiap hari sebanyak 18 kali, maka akan dibukakan dadanya dengan pelbagai hikmah. Begitu juga dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh hingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara dia daripada segala bencana dengan izin Allah. Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, Umat Islam yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, insya-Allah, Allah swt akan mencerdaskan akal fikirannya serta memudahkannya menerima ilmu pengetahuan.

Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat al-Kursi, Allah swt hilangkan segala kefakiran di depan matanya.” Sabda Baginda lagi: “Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar. Orang yang selalu membaca ayat al-Kursi dicintai dan dipelihara Allah swt seperti Dia memelihara Nabi Muhammad.

Mengamalkan bacaan ayat al-Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya. Serta, akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah swt daripada gangguan serta hasutan Syaitan. Pengamal ayat al-Kursi juga, dengan izin Allah swt, akan terhindar daripada pencerobohan mahupun pencuri. Ayat al-Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.

Ayat al-Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, insya-Allah, boleh menyebabkan Syaitan dan Jin terbakar. Jika anda berpindah ke rumah baru, maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah swt mewakilkan dua malaikat memeliharanya hingga subuh. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi pada akhir setiap sembahyang fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi pada akhir setiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk Syurga kecuali maut. Umat Islam yang membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah di sekitarnya. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah ada menyebut perihal seekor Syaitan yang duduk di atas pintu rumah. Tugasnya ialah untuk menanam keraguan di hati suami terhadap kesetiaan isteri di rumah dan keraguan di hati isteri terhadap kejujuran suami di luar rumah. Sebab itulah Rasulullah saw tidak akan masuk rumah sehingga Baginda mendengar jawapan salam daripada isterinya. Di saat itu Syaitan akan lari bersama-sama dengan salam itu. Hikmat Ayat al-Kursi mengikut Hadis-hadis, sesiapa membaca ayat al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi di akhir setiap sembahyang fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah swt hingga sembahyang yang lain.

Umat Islam membaca ayat al-Kursi di akhir setiap sembahyang, tidak mencegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut dan umat Islam yang membacanya ketika hendak tidur, Allah swt memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah-rumah di sekitarnya. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi di akhir tiap-tiap sembahyang fardhu, Allah swt menganugerahkan dia setiap hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi serta Allah swt melimpahkan padanya rahmat. Umat Islam membaca ayat al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah swt mengutuskan tujuh puluh ribu Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

Selain itu, umat Islam yang membaca ayat al-Kursi di akhir sembahyang, Allah swt akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah swt berkenan memberi pertolongan kepadanya. Dari Abdullah bin 'Amr r.a, Rasulullah saw bersabda:" Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga dapat kita mengamalkannya dalam kehidupan seharian. InsyaAllah.