Sunday, May 22, 2011

Niat

Niat

Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: "Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, kalau baik daging itu maka baiklah manusia, kalau ia rosak maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati atau roh."
(Riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman bin Basyir)

Hati atau roh antara lainnya berfungsi menentukan gerak laku setiap insan. Sebaliknya, anggota fizikal seperti tangan, kaki, mulut, mata, telinga, perut dan lain-lain anggota pula berperanan menunaikan segala kehendak roh. Oleh demikian, anggota fizikal bukan penentu tetapi hanya pekerja kepada roh, dan rohlah yang menjadi pemerintah kepada setiap insan yang hidup di alam fana ini. Kalau hati mahu, insyaAllah semuanya jadi. Kalau hati tidak mahu, adalah tidak mustahil apa pun tidak jadi.

Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Sesungguhnya setiap amalan itu disertai dengan niat. (Riwayat Bukhari)

Kalau niat baik maka amalan itu diterima sebagai amalan baik. Sebaliknya kalau niat jahat maka amalan itu dikira jahat sekalipun nampaknya baik. Contoh, Si A berniat untuk sembahyang kerana Allah SWT, maka sembahyang itu diterima sebagai amalan soleh. Manakala Si B meniatkan sembahyang itu untuk dia dikatakan orang baik maka sembahyangnya tertolak. Ada juga niat yang baik tetapi dilaksanakan dengan cara yang jahat. Ini juga tertolak. Misalnya seorang yang berniat untuk menolong seseorang dengan cara mencuri duit seseorang yang lain. Ini tidak betul. Lebih-lebih lagilah tidak betul kalau niatnya salah dan perlaksanaannya pun salah.

Sabda Rasulullah SAW : Maksudnya: "Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu."
(Riwayat At Tabrani)

Di sinilah kita lihat Allah SWT membahagikan amalan hambaNya kepada dua bahagian:
Pertama : Apa kata hati (niat)
Kedua : Bentuk perlaksanaan lahir

Dengan kata lain Allah SWT bezakan niat dengan sikap. Walaupun kedua-duanya diperintahkan tetapi keutamaan diberi pada niat supaya seseorang tidak menipu dirinya dan orang lain dengan berbuat baik tapi bermaksud jahat. Manusia cuma nampak yang lahir dan tidak tahu apa yang dirahsiakan di dalam hatinya. Sedangkan kalau dia buat jahat orang boleh nampak dan boleh tegur untuk keselamatan dirinya.

Hal ini boleh diibaratkan pada sebiji buah yang ada kulit dan ada isi. Kedua-dua kulit dan isi adalah penting. Buah yang baik itu adalah kerana kulitnya baik dan isinya pun baik. Buah yang kulitnya baik tapi isinya tidak baik, ia tidak berguna apa-apa. Manakala buah yang kulitnya buruk sedangkan isinya baik pun tidak bagus. Cuma ia masih boleh dimakan. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Niat orang mukmin lebih baik dari amalannya."(Riwayat Al Baihaqi dan Ar Rabi')

Maksudnya, niat yang baik itu lebih baik dari amalan yang baik kerana niat yang baik tidak dicelah oleh riyak atau ujub. Manakala amalan yang baik cukup mudah dihinggap oleh riyak dan ujub. Jarang manusia boleh selamat dari diganggu dan dirosakkan amalannya oleh riyak dan ujub. Ada Hadis mengatakan bahawa seseorang yang baru berniat baik sahaja sudah diberi pahala oleh Allah SWT. Sedangkan niat yang jahat tidak dikira berdosa sehinggalah orang itu benar-benar melaksanakan niat jahat tersebut.

Para pembaca, Begitulah pentingnya roh diberi perhatian dan pendidikan. Memerhati, mengkaji dan menilai bidang inilah yang disebut ilmu tasawuf atau ilmu rohaniah atau ilmu batiniah. Ilmu yang merupakan satu bahagian yang terpenting dalam ilmu Islam di samping ilmu usuluddin yang menjadi asasnya dan kemudian ilmu fekah (syariat). Tasawuf umpama isi buah manakala ilmu syariat itu umpama kulit buah. Atau ilmu syariat itu dianggap kisrun (kulit) dan ilmu tasawuf itu dianggap lubbun (intipati). Kedua-duanya penting tetapi yang lebih penting ialah isinya kerana isi itulah yang mahu dimakan.

Sekian.