Friday, July 9, 2010

Fadhilat Ayat al-Kursi

Fadhilat Ayat Kursi

Ayat al-Kursi diwahyu oleh Allah swt kepada Rasulullah saw setelah hijrah. Ketika ayat ini diturunkan beribu-ribu Malaikat mengiringi ayat tersebut kerana kehebatan dan kemuliaannya yang Allah swt ganjarkan padanya. Sebaliknya pula, menjadi gempar sekalian Syaitan dan Iblis yang terkejut besar kerana datangnya satu perintang yang akan menghalang aktiviti penyesatannya. Nabi Muhammad saw segera memerintahkan Zaid bin Sabit menulis serta menyebarkannya. Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, pagi dan petang, keluar masuk rumah atau hendak musafir, insyaAllah akan terpelihara dirinya daripada godaan Syaitan, kejahatan manusia dan binatang buas yang akan memudaratkan.

Ayat al-Kursi bukan saja melindungi dirinya sendiri, bahkan keluarga, anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah. Mengikut ketenangan kitab ‘Asraarul Mufidah’, sesiapa mengamalkan membacanya Setiap hari sebanyak 18 kali, maka akan dibukakan dadanya dengan pelbagai hikmah. Begitu juga dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh hingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara dia daripada segala bencana dengan izin Allah. Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, Umat Islam yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, insya-Allah, Allah swt akan mencerdaskan akal fikirannya serta memudahkannya menerima ilmu pengetahuan.

Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat al-Kursi, Allah swt hilangkan segala kefakiran di depan matanya.” Sabda Baginda lagi: “Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar. Orang yang selalu membaca ayat al-Kursi dicintai dan dipelihara Allah swt seperti Dia memelihara Nabi Muhammad.

Mengamalkan bacaan ayat al-Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya. Serta, akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah swt daripada gangguan serta hasutan Syaitan. Pengamal ayat al-Kursi juga, dengan izin Allah swt, akan terhindar daripada pencerobohan mahupun pencuri. Ayat al-Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.

Ayat al-Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, insya-Allah, boleh menyebabkan Syaitan dan Jin terbakar. Jika anda berpindah ke rumah baru, maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah swt mewakilkan dua malaikat memeliharanya hingga subuh. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi pada akhir setiap sembahyang fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi pada akhir setiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk Syurga kecuali maut. Umat Islam yang membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah di sekitarnya. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah ada menyebut perihal seekor Syaitan yang duduk di atas pintu rumah. Tugasnya ialah untuk menanam keraguan di hati suami terhadap kesetiaan isteri di rumah dan keraguan di hati isteri terhadap kejujuran suami di luar rumah. Sebab itulah Rasulullah saw tidak akan masuk rumah sehingga Baginda mendengar jawapan salam daripada isterinya. Di saat itu Syaitan akan lari bersama-sama dengan salam itu. Hikmat Ayat al-Kursi mengikut Hadis-hadis, sesiapa membaca ayat al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi di akhir setiap sembahyang fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah swt hingga sembahyang yang lain.

Umat Islam membaca ayat al-Kursi di akhir setiap sembahyang, tidak mencegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut dan umat Islam yang membacanya ketika hendak tidur, Allah swt memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah-rumah di sekitarnya. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi di akhir tiap-tiap sembahyang fardhu, Allah swt menganugerahkan dia setiap hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi serta Allah swt melimpahkan padanya rahmat. Umat Islam membaca ayat al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah swt mengutuskan tujuh puluh ribu Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

Selain itu, umat Islam yang membaca ayat al-Kursi di akhir sembahyang, Allah swt akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid. Umat Islam yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah swt berkenan memberi pertolongan kepadanya. Dari Abdullah bin 'Amr r.a, Rasulullah saw bersabda:" Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga dapat kita mengamalkannya dalam kehidupan seharian. InsyaAllah.