Tuesday, March 9, 2010

Kefahaman Ilmu Agama

Kedudukan ahli ilmu mengatasi kedudukan ahli ibadat, beribadat tanpa ilmu adalah sesat sebaliknya ilmu tanpa amal adalah sia-sia, bahkan tidur orang alim lebih baik daripada ibadat orang jahil. Setiap orang perlu belajar secara berguru untuk mendapatkan pelbagai jenis ilmu yang bermanfaat tanpa mengira tempatnya, sama ada jauh mahupun dekat dalam tempoh waktnya yang tiada hadnya.
Ada yang belajar ilmu agama Islam di sekolah pondok, menadah kitab bertalaqi dengan Tok Guru dari seusia muda sehingga tumbuh uban dikepala, sekian waktu lamanya agar menjadi orang alim. Ada yang menyambung pelajaran hingga ke universiti di dalam mahupun ke luar negara untuk mendalami ilmu agama. Harapan yang digantungkan untuk mempelajari ilmu agama agar lahir sebagai orang alim, orang yang menguasai ilmu-ilmu Islam dan sememangnya sangat beruntung apabila menjadi orang yang berilmu.

Terdapat ramai sekali orang yang alim tetapi tak kurang juga ramainya orang yang disangka alim tetapi alimnya bukan dalam erti kata yang sebenarnya. Cuma sebahagiannya sahaja seperti kerana tempat belajarnya, jurusanya, tutur katanya, pakaiannya yang menonjolkan ciri-ciri orang alim. Apa yang ingin di jelaskan disini walaupun seseorang itu dianggap sebagai alim. Namun, belum tentu mereka diberi faham tentang ilmu yang dimilikinya.

Oleh itu, paling beruntung adalah orang alim yang diberi kefahaman ilmu. Menjadi orang yang faham dalam agama tidak mudah. Sekalipun telah menghafal 30 juzuk Al-Quran, menghafal matan-matan beberapa kitab, berkemampuan membaca kitab-kitab tertentu, kebolehan mengajar khalayak pun bukan bermakna seseorang itu faham dalam agama.

Itulah yang didoakan nabi Muhammad SAW buat sahabat yang terkenal dengan kehebatan tafsirnya terhadap isi kandungan Al-Quran, Abdullah bin Abbas:


اللهم فقه في الدين وعلمه التأويل
"Ya Allah, Fahamkan dia dalam agama dan ajarkanlah dia ta'wil!"

Kefahaman Abdullah bin Abbas terhadap agama dan kemampuannya menta'wil terserlah dalam sebuah riwayat Imam Bukhari dalam Sahehnya mengenai tafsir surah An-Nasr.

Tindakan Syaidina Umar Al-Khattab memasukkan Abdullah bin Abbas dalam majlis mesyuarat telah dipersoalkan oleh ahli-ahli vetren Badar kerana pada waktu itu beliau masih muda remaja. Menangani kritikan para sahabat itu, Umar Al-Khtaab memanggil mereka dan berkata: "Pada hari ini aku mahu tunjukkan kepada kamu semua satu perkara yang kamu akan akui sebagai kelebihannya", Lalu Umar Al-Khattab meyuruh mereka menjelaskan maksud surah An-Nasr:


إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ
Apabila datang pertolongan Allah
Maka, mereka menjelaskan bahawa surah tersebut adalah Allah menyuruh nabinya agar memuji Allah dan memohon ampun daripadaNya ketika melihat manusia memeluk Islam berduyun-duyun. Lalu, Umar Al-Khattab bertanya kepada Ibn Abbas tentang maksud ayat tersebut, lalu Ibn Abbas berkata:

"Allah memberitahu nabiNya bila dia akan wafat",
Demikianlah tajamnya fikiran Ibn Abbas di atas segala sahabat yang terlebih dahulu memeluk Islam dan lebih awal mendengar Al-Quran. Itulah seorang yang diberi faham dalam agama dan dilimpahkan kurnia kemampuan menta'wil.
Menjadi faham dalam agama membuat seseorang itu dapat meneliti isu sebenar di sebalik isu-isu tempelan. Lalu dia dapat mengulas penyelesaian terhadap sesuatu yang menjadi inti persoalan dan tidak disibukkan dengan persoalan tumpangan. Seorang yang diberi faham dalam agama, akan mengemukakan buah akal fikiran yang berbeza daripada pandangan umum. Oleh itu, seringkali juga seorang yang diberi faham dalam agama menghadapi tentangan daripada sebilangan orang alim.
Orang yang diberi faham agama sentiasa menjadikan dalil sebagai makanannya dalam berhujjah.
Orang yang diberi faham dalam agama, bila berhujjah, tidaklah akan berkata:'guruku telah berkata...kitab sekian menyebutkan...", lalu disenaraikan puluhan kitab rujukan karangan ulama muktabar. Orang yang diberi faham dalam agama menampilkan agama dalam neraca yang menjadikan orang rasa mudah untuk mengamalkannya. Orang yang diberi faham dalam agama, menyuluh jalan beragama untuk orang lain ke satu jalan yang jelas, meyakinkan dan jauh daripada keraguan ahli bid'ah dan orang berkepentingan. Orang yang diberi faham dalam agama, terserlah dalam pendekatannya yang jauh daripada emosi dan hamasah.

اللهم فقهنا في الدين
Sekian.