Tuesday, January 12, 2010

Qada Puasa

Qadha Puasa

Di ruang ini saya akan menumpukan perbincangan berkaitan mengqada puasa bagi orang yang telah meninggal dunia.

Firman Allah swt di dalam surah al-Baqarah ayat 184-185 yang bermaksud :

184. (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

185. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Berdasarkan ayat diatas dapat dirumuskan bahawa terdapat empat golongan yang diberikan kelonggaran untuk meninggalkan puasa iaitu:

1. Wanita yang sedang hamil atau menyusui anak

2. Orang yang sakit

3. Orang yang bermusafir

4. Orang yang tidak berupaya untuk berpuasa

Wanita yang hamil ataupun sedang menyusukan anak tetapi bimbang akan terganggu aturan kehidupannya, dibolehkan membuka puasa namun, apabila telah bersalin ataupun telah tamat tempoh penyusuan (anak berhenti menyusu) hendaklah digantikan puasa yang ditinggalkan pada hari yang lain, selepas bulan ramadhan sehingga sebelum tiba bulan ramadhan yang berikutnya.

Wanita yang berpuasa tetapi bimbang dengan kesihatan anak yang dikandung ataupun bimbang kekurangan susunya maka dibolehkan membukakan puasa dengan syarat digantikan puasa itu pada hari lain serta ditambah dengan membayar fidyah. Keadaan ini berbeza kerana mereka termasuk kedalam golongan orang yang mampu berpuasa. Sebagaiman maksud firman Allah swt di dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud: dan wajiblah orang-orang yang berat menjalankan (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah (iaitu) memberi makan seorang miskin.

Orang yang sakit tidak boleh berpuasa, tetapi harus mengantikanya apabila sembuh. Allah swt berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: dan barang siapa sakit atau di dalam perjalanan (lalu ia berbuka) maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Sakit yang tidak boleh berpuasa mestilah dari jenis sakit yang mengakibatkan si sakit hilang keupayaan untuk berpuasa. Sakit yang ringan pula diharuskan berpuasa tetapi bertambah berat pada siang harinya maka diharuskan berbuka.

Bagi orang yang bermusafir pula, syarat diharuskan berbuka bagi perjalanan yang bukan bertujuan maksiat menurut syarak, bukannya menurut kemahuan sendiri. Walaubagaimanapun jika pada waktu pagi sebelum bermusafir, si musafir itu masih ada di rumah, maka tidak harus bagi si musafir itu untuk berbuka kerana ibadat yang menggunakan waktu mukim mewajarkannya berbuka jika musafir itu keluar daripada rumahnya sebelum fajar. Menurut Imam Ahmad dan Imam Shaafie bahawa musafir yang diharuskan berbuka puasa itu adalah di dalam perjalanan dua hari dua malan ataupun empat puloh lapan batu.

Orang yang terlalu tua (tua bangka) atau mempunyai penyakit yang tidak mungkin sembuh boleh berbuka puasa dengan mengantikan dengan membayar fidyah setiap hari yang ditingalkan 1 mud / 576 gram beras (makanan asasi) dan diberikan kepada fakir miskin, namun bagi orang yang tidak mampu untuk mengeluarkan fidyah maka hukum tersebut tidak terletak dibahunya.

Mengqadhakan Puasa Orang lain

Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana keuzuran, tetapi belum sempat diqadhakan puasa tersebut ia telah meninggal dunia, maka terdapat dua kaedah hukum untuknya;

1.Belum lagi memenuhi kewajipan puasa yang ditinggalkan olehnya kerana belum mampu untuk berpuasa, mungkin disebabkan penyakit yang ditanggung belum sembuh ataupun masih dalam misi bermusafir, dalam waktu tersebut seseorang itu telah meninggal dunia. Maka tidak berkewajipan untuk wali / waris menggantikan puasanya, tidak membayar fidyah dan tidak berdosa.

Orang yang sakit sepanjang waktu pula, tidak boleh diharapkan untuk sembuh walaupun belum meninggal dunia, maka cukuplah dengan membayar fidyah kepada fakir miskin setiap hari 1 mud.

2.Sebaliknya, jika orang yang meninggal dunia tersebut, pernah sihat selepas 2 syawal tetapi dia tidak mengqadhakan puasanya sehingga sampai waktu kematiannya, maka terdapat 2 pendapat berkaitan perkara tersebut iaitu;

i. Dikeluarkan kepada fakir daripada hartanya berdasarkan jumlah hari puasa yang ditinggalkan itu sebagai fidyah sebanyak 1 mud. Pendapat ini dianggap lemah kerana harta yang ditinggalkan itu adalah hak warisnya, terutama jika si mati mewariskan anak-anak yang masih belum balig.

ii.Walinya harus menggantikan dengan puasa, iaitu harus diqadhakan oleh ahli keluarganya yang terdekat. Dari Aisyah, telah bersabda Rasulullah saw, mafhumnya: “Barang siapa yang mati dengan meninggalkan kewajipan (qadha) puasa, hendaklah walinya berpuasa untuk menggantikannya”. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Namun, pada pendapat lain bahawa puasa yang boleh dikerjakan oleh orang lain itu hanyalah puasa nazar. Berdasarkan alasan dengan hadis di bawah ini. Dari Ibnu Abas, sesungguhnya seorang perempuan telah bertanya kepada Rasulullah saw, katanya: “Ibu saya telah meningal dunia dan ia ada ketinggalan puasa nazar yang belum dikerjakan, apakah saya boleh puasa menggantikannya?” jawab Rasulullah saw: “bagaimana pendapatmu kalau Ibumu itu mempunyai hutang kemudian engkau mmebayar hutangnya itu, adakah terbayar hutang Ibumu itu?”. Jawab perempuan itu: tentu terbayar”. Rasulullah saw berkata “Berpuasalah engkau untuk menggantikan puasa ibumu” Riwayat Muslim.

Semoga apa yang dinukilkan ini member sedikit pedoman buat pembaca, dan bertanyalah kepada orang yang alim sekiranya belum betul-betul memahami.